Wednesday, November 30, 2011

Mencari Keredhaan Allah

Soalan

salam ustazah...

saya ingin bertanya soalan pada ustazah, bagaimanakah melakukan sesuatu hanya kerana mengharapkan redha Allah? adakah kalu kita buat sesuatu dan kita buat kerana mengharapkan redha ibu bapa boleh dikatakan buat kerana mengharapkan redha Allah sebab kita tahu bahawa redha Allah bergantung kepada redha ibu bapa.

bagaimanakah kita nak mengaitkan kehidupan seharian kita ini dengan agama sebab fahaman sekarang ini memisahkan agama dengan dunia???

apakah yang dikatakan amalan soleh??? adakah hanya berzikir sahaja yang dikira sebagai amalan soleh??dalam al-quran dikatakan syurga hanya untuk orang yang melakukan amalan soleh... bagaimana nak melakukan amalan soleh yang diredhai Allah???


Jawapan

Salam,

Allah mencipta manusia supaya beribadah kepadaNya seperti dinyatakan di dalam firmanNya yang bermaksud: "Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia malainkan supaya mereka beribadah kepadaKu (dengan menyembah dan mentaatiKu)" Surah al-Dzariat:56.

Ibadah boleh dibahagikan kepada 2 kategori: ibadah khusus dan ibadah umum.
ibadah khusus ialah upacara atau amalan tertentu yang kita lakukan semata-mata untuk mendekatkan diri kepadaNya. Ini mesti dilakukan dengan cara tertentu seperti mana yang diajar oleh Rasulullah SAW. Contohnya solat, puasa, haji dan lain-lain.
ibadah umum ialah semua urusan dalam kehidupan kita di dunia ini. Apa jua yang kita lakukan dikira ibadah dengan syarat:

1. dilakukan dengan niat yang baik, contohnya berniaga untuk menyara keluarga, membantu manusia mendapat keperluan mereka, menziarahi ibu bapa supaya mereka gembira dan seterusnya
2. perkara yang dilakukan itu harus pada asalnya serta tidak bercanggah dengan prinsip Islam. Jika berbuatan itu haram atau bercanggah dengan prinsip Islam, tidak dikira ibadah walaupun niatnya baik.
3. tidak lalai dari melakukan ibadah yang lebih utama atau ibadah khusus, umpamanya berniaga sampai lupa solat.
Jadi dalam mencari keredhaan manusia, termasuk ibu bapa mestilah tidak lari atau tidak bercanggah dengan tiga syarat di atas. Amalan yang memenuhi syarat tersebut itulah yang dikatakan amal soleh.
Semoga kita dibimbing untuk melakukan amal yang terbaik di sisiNya.


Ustazah Maznah Daud
penyuluh.blogspot.com

No comments:

Post a Comment