Wednesday, November 30, 2011

Menonton Wayang Bersama Kekasih

Soalan

Saya merupakan remaja yang selalu di belenggu keraguan terutama berkaitan hal agama. Disini saya ingin mengajukan beberapa soalan yang saya rasa prof dapat menjawabnya.

Seperti yang kita ketahui, jika kaum hawa dan kaum adam duduk berdua-duaan di tempat gelap hukumya berdosa.hukum itu adakah sama dengan kita masuk ke panggung wayang.

saya harap prof dapat menjawabnya.

JAWAPAN

Assalamu’alaikum wr.wb.

Sebelum menjawab ya atau tidak soalan yang ditanyakan di atas, beberapa perkara asas perlu dijelaskan terlebih dahulu. Sebagai muslim, asas ini mesti difahami, diyakini dan dipegang sekuat-kuatnya.

Pertama: Allah s.w.t. tidak mengharamkan perkara yang baik dan bermanfaat kepada manusia. Yang diharamkan adalah perkara yang tidak berfaedah, keji, buruk serta mendatangkan mudarat kepada hambaNya sama ada dalam jangka masa yang cepat atau lambat.

Kedua: Perkara yang haram terbahagi kepada dua jenis: haram li dzatihi dan haram li ghayrihi. Haram li dzatihi ialah sesuatu yang diharamkan Allah lantaran keburukan dan kemudaratannya seperti mencuri, berzina, minum arak dan seterusnya. Manakala haram li ghayrihi diharamkan bukan kerana keburukan atau kemudaratannya tetapi kerana kaitannya dengan perkara yang haram atau ia boleh menjadi punca berlakunya perkara yang haram. Contohnya makan buah rambutan yang dicuri; makan buah rambutan bukanlah sesuatu yang memudaratkan tetapi haram dimakan kerana diperolehi dengan cara mencuri. Lelaki dan perempuan duduk berdua-duaan di tempat sunyi tidak berbahaya kalau hanya sekadar duduk tetapi, boleh menjadi punca kepada berlakunya zina. Maka duduk berdua-duaan di tempat sunyi adalah haram.

Berdasarkan dua prinsip di atas, cuba fikirkan; tidakkah masuk ke dalam panggung wayang juga boleh mendorong kepada zina? Secara fizikalnya pasangan tidak duduk berduaan tetapi dalam keadaan suasana yang gelap, setiap orang yang masuk membawa hal sendiri-sendiri, masing-masing tidak ambil pusing antara satu sama lain. Dalam keadaan demikian kesempatan untuk meraba, berpegang tangan, malah berpelukan tidak ada siapa yang akan mencegahnya. Ditambah pula dengan adegan-adegan menggairahkan yang terpampang di layar di hadapan membangkitkan lagi keinginan yang berkemungkinan besar mengheret pasangan mencari tempat lebih exclusive bagi memenuhi keinginan yang telah memuncak dan sukar dibendung. Maka masuk ke dalam panggung wayang dengan pasangan yang belum dikahwini boleh dikatakan termasuk dalam kategori mendekati zina yang secara jelas dilarang keras oleh Allah s.w.t. di dalam firmanNya yang bermaksud: “Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk.” Al-Isra’ :32



Ustazah Maznah Daud
Penyuluh.blogspot.com

No comments:

Post a Comment