Trend
Seandainya kita melayari laman youtube, kita pasti sedar bahawa video-video cara pemakaian hijab yang disediakan oleh adik-adik remaja Islam kita berselerakan bagai embun di pagi hari. Sebut sahaja cara memakai hijab dari fabrik jenis apa, pashmina? Cotton? Satin? Crumpled cotton? Viscose? Jojet? Semuanya ada. Just a click away!
Selain itu ada juga adik-adik yang berbakat dalam bidang fesyen, lalu adik-adik ini tampil ke hadapan untuk memberi cadangan pemakaian muslimah yang dirasakan sesuai dengan function yang bakal dihadiri. Pakaian ke kelas begini, untuk bersantai di waktu petang begini pula, tidak lupa juga pakaian bergembira bersama teman-teman dihujung minggu.
Menjadi post-post ‘in-trend ’juga di kalangan blogger wanita untuk berkongsi rahsia kejelitaan mereka (khususnya buat blogger yang cantik jelita). Di sini kita akan mendapat tahu rahsia produk-produk yang digunakan untuk mendapatkan hasil kulit yang mulus dan cantik seperti rakan blogger itu. Lebih menarik, kadangkala cara-cara mengenakan ‘make-up’ juga diajar secara intensif langkah demi langkah agar pembaca blog dapat mengikuti dengan tepat konsep DIY (Do It Yourself) ini. Mudah bukan? Sememangnya teknologi maklumat memudahkan segala-galanya.
Yang Mengikut
Umpama menilik katalog professional informasi dan pengetahuan yang dipelajar daripada laman web ini akan dicerna di dalam otak para remaja muslimah khususnya dan disini berlakulah pergolakan tolak dan tarik, prinsip lawan tekanan masyarakat, kebiasaan dan fesyen semasa. Yang menang akan menjadi hala tuju baru adik-adik dalam menampilkan diri dengan lebih berkeyakinan di khalayak ramai.
Pendirian yang menang juga akan menjadi paksi pergantungan adik-adik dalam membuat keputusan kelak apabila membeli belah pakaian adik-adik. Seumpama satu perjanjian, dengan bulatnya tekad dalam memilih pendirian baru, adik-adik kini seakan-akan menjadi seseorang yang baru dengan personaliti baru yang sudah difikir semasak-masaknya.
Tekongnya
Kebanyakan adik-adik yang berkongsi video atau blog post sedemikian berniat baik, mahu berkongsi ilmu, menyebarkan cara menzahirkan keindahan kurniaan Allah SWT agar tampil lebih istimewa dari biasa. Dan sememangnya video-video sebegini mendapat sambutan yang menggalakkan berdasarkan jumlah statistic tontonan. Itu tidak syak lagi.
Rasanya jika ditanya motif atau tujuan di sebalik penghasilan video-video ini pun, boleh jadi ini jawapannya.
“Kami mahu mengubah pandangan orang bahawa menutup aurat itu imej kekampungan, tampak selekeh, selebet dan terlalu ‘plain’. Ia juga boleh jadi sesuatu yang cool, urban, menarik dan cantik, jadi semakin ramai akan rasa mahu bertudung!”
“Ini sebahagian daripada dakwah bukan?”
“Saya mahu berkongsi ilmu. Takkan nak cantik seorang diri. Itu kedekut ilmu namanya. Niat saya baik”
“Tak salah bukan, Allah sukakan keindahan kan?”
Termenung panjang saya memikirkan jawapan sebegini.
…………………..
Betulkah jawapan-jawpan yang diberi dengan skema jawapan yang dikehendaki? Benarkah begitu?
Sebenarnya hari ini saya tidak mahu menulis berkenaan jawapan sebenar persoalan-persoalan yang dilontarkan di atas. Sebaliknya melalui kisah di atas, saya ingin membawa adik-adik menelurusi cara kita semua berfikir tatkala berhadapan dengan imej dunia baharu ini dengan harapan pada akhir perbincangan ini adik-adik sendiri akan menilai jawapan kepada soalan-soalan di atas.
Siapa Wanita?
Disebalik suara lantang yang mengatakan bahawa apa yang sedang dilakukan adalah satu proses memberi makna baru kepada pemakaian Islam agar dipandang tinggi, sedarkah adik-adik bahawa,ironinya kita; dengan tangan kita sendiri sedang secara halusnya merendahkan nilai seorang wanita itu sendiri?
Mengapa saya berkata demikian? Sebab, pada masa kini, sedar atau tidak imej wanita begitu rendah sehingga yang kerapkali dikaitkan atau menjadi tumpuan lambakan minat hanyalah pada aspek memanipulasi keindahan insan bernama wanita di khalayak ramai sahaja. Sedangkan wanita bukan hanya dijadikan sebagai pemuas halua mata sang lelaki-lelaki ajnabi (asing).
Ya tidak salah ingin kelihatan ‘presentable’, yang mana sememangnya Islam adalah agama yang mementingkan kebersihan dan keindahan. Namun adik-adik kehidupan seorang wanita di dunia ini bukan hanya berkisar tentang mahu menjadi cantik, digilai ramai, dipuji dan dimegah-megahkan. Bukan. Pernahkah adik-adik mendengar kata-kata tangan yang menggoncang buaian boleh menggoncang dunia? Ya pepatah itu menggambarkan betapa besarnya kuasa dan peranan yang boleh dimainkan wanita jika dilakukan di dunia ini dengan serius walaupun tidak melebihi seorang lelaki.
Malangnya, wanita pada zaman sekarang telah hilang semangat perjuangan seperti wanita-wanita di zaman Rasulullah SAW. Kebanyakkan daripada kita telah leka dibuai arus jahiliah yang dibungkus dengan jenama pembaharuan agama. Walhal kita sedang ditertawakan barat kerana cuba kelihatan moden dan intektual lalu hanya berjaya menciplak rupa luaran sahaja sedangkan otak masih ketinggalan di belakang.
Kita cuba mengubah dan memberi pembaharuan terhadap berbagai hukum hakam seakan-akan apa yang telah disyariatkan atau yang telah terbiasa dilakukan itu terlalu membosan padahal terlalu banyak hal lain yang boleh dilakukan untuk memberi inspirasi kepada muslimah-muslimah di luar sana agar membaiki diri terutamanya dari segi kekuatan iman dan jiwa supaya boleh diluahkan dengan perlakuan. Sayang seribu kali sayang adik-adik, wanita pada hari ini hanya sibuk untuk memperelok rupa luaran sehingga terlupa mengisi dalaman dengan ilmu dan iman dan keindahan hati.
Lalu Adik-adik, jadilah kita seperti belon beraneka bentuk yang indah dipandang dan dicemburui namun pada hakikatnya bila dicucuk, meletup, isinya kosong tak berguna lagi. Kita mungkin marah, geram dan berasa tidak puas hati membaca penyataan ini, tetapi salahkah telahan itu? Sama-samalah kita fikirkan. Ikuti sambungan perbincangan ini pada Bahagian 2: Hikayat Bidadari Syurga?
No comments:
Post a Comment