Wednesday, December 21, 2011
Perkampungan Akhirat
Kehidupan ini sama seperti asap yang kelihatan hanya sebentar sahaja, lalu lenyap. Sesungguhnya manusia seperti nafas dan semuanya sia-sia. Ramai yang berharap untuk kehidupan di dunia ini dan mereka menganggap ini 'kampung halaman' yang sebenar. Setiap hari mereka sibuk dengan urusan-urusan dunia, mencari duit, bekerja, dengan bersuka ria. Mereka lupa diri, bahawa saatnya akan tiba apabila segalanya berakhir dan kita akan kembali ke 'kampung halaman' yang hakikit, iaitu syurga atau neraka.
Sekarang kita sedang berjalan ke destinasi yang kita sendiri pilih, iaitu syurga atau neraka. Allah swt menyediakan dua jalan untuk kita pilih, maka terpulanglah kepada kita untuk memilih sama ada jalan ke syurga atau ke neraka. Namun begitu, Allah sudah memberitahu kita di dalam al-Quran, tentang betapa nikmatnya kehidupan dan pengalaman manis di syurga. Begitu juga dijelaskan betapa azabnya kehidupan dan pengalaman ngeri di neraka. Rasulullah juga menguatkan lagi melalui hadis-hadisnya yang masih dibaa dan didengar hingga ke hari ini.
Sebagai makhluk yang diberikan kesempurnaan akal fikiran, manusia boleh berfikir kesan dan risiko yang bakal diterima akibat dari sesuatu tindakannya. Setiap sesuatu itu ada sebab-musababnya. Allah swt masukkan seseorang ke syurga kerana dalam hidupnya di dunia ini, dia memilih jalan ke syurga. Begitu juga Allah masukkan seseorang itu ke neraka kerana dalam hidupnya, dia sengaja memilih jalan ke neraka. Terpulang kepada kita hendak mengikut perjalanan ke syurga atau ke neraka.
Syurga
Inilah tempat bersara yang paling indah di mana taman-taman yang teduh dapat dinikmati dan ada kesabaran, kehormatan dan salam. Di sini mereka yang disucikan dari dosa akan hidup senang lenang sambil memuji Allah yang menghapuskan dukacita mereka untuk selama-lamanya. Fikiran kita tidak mampu membayangkan bagaimana indahnya syurga itu. Orang yang menuruti ajaran Allah dan mengikuti jalan yang ditunjukkanNya akan berada di tempat ini dan orang yang sudah berada di dalamnya akan kekal untuk selama-lamanya.
Neraka:
Inilah tempat seksaan yang mengerikan dan tempat kesedihan serta kesengsaraan, di mana pakaian, selimut dan tempat tidur dibuat dari api. Di atas kepala dan di bawah kaki, api berlapis-lapis. Di mana-mana jua penuh dengan api, asap hitam dan kegelapan. Mata menjadi buta, telinga menjadi tuli dan mulut menjadi bisu. Mereka yang berada di sini mengalami penderitaan yang tidak terperi dan tiada hentinya. Mereka tidak mati dan tidak pula hidup, tetapi mengalami seksaan tanpa kesudahan.
TUNJUKKAN KAMI JALAN KE SYURGA
"Tunjukilah kami jalan yang lurus" bererti "tunjuki kami jalan ke syurga." Inilah idaman setiap insan, inilah cita-cita setiap manusia...
Labels:
syurga
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment