Andaikan sekiranya anda diminta oleh ibu anda untuk mencatatkan dengan lengkap setiap apa yang anda lakukan, bolehkah anda lakukannya dengan sempurna?
Mungkin ini persoalan sebenarnya - adakah anda akan menulis setiap satu perkara yang anda lakukan?
Dalam keadaan ini, mungkin tidak semua perkara akan kita catatkan kerana kita tidak mahu ibu kita mengetahui sesuatu perkara yang kita tahu tidak akan memuaskan hati ibu. Mungkin kita takut untuk memberitahu ibu bahawa kita telah keluar bersama teman wanita / lelaki. Mungkin kita takut untuk memberitahu ibu bahawa kita tidak menunaikan solat subuh. Mungkin kita takut untuk memberitahu ibu tentang gambar yang kita pamerkan di Facebook. Besar atau kecil sekalipun, mungkin ada perkara yang kita tidak ingin ibu kita ketahui. Bukan sahaja ibu kita, malah kita mungkin tidak mahu sesiapa pun mengetahui sesetengah perkara yang telah kita lakukan.
Mari kita bandingkan senario ini dengan senario berikut daripada surah Al-Haqqah:
فَأَمَّا مَنْ أُوتِيَ كِتَابَهُ بِيَمِينِهِ فَيَقُولُ هَاؤُمُ اقْرَءُوا كِتَابِيَه
إِنِّي ظَنَنْتُ أَنِّي مُلَاقٍ حِسَابِيَهْ
Maka sesiapa yang diberikan menerima Kitab amalnya dengan tangan kanannya, maka ia akan berkata: “Nah! Bacalah kamu Kitab amalku ini! Sesungguhnya aku telah mengetahui dengan yakin bahawa aku akan menghadapi hitungan (hisab) amalku” (Surah Al-Haqqah, 69: 19-20)
Ayat-ayat ini menerangkan situasi seseorang yang telah pun dihisab amalnya. Ia gembira sekali kerana ia telah melalui hisabnya dan telah nyata ia tergolong dalam golongan penghuni Jannah. Maka dengan tanpa sebarang rasa takut ataupun malu ia rela, malah beria-ia untuk menunjukkan kepada sesiapa sahaja amalan-amalannya semasa di dunia yang pastinya depenuhi dengan amalan-amalan soleh.
Beberapa ayat kemudian, kita akan dapati suatu keterangan mengenai satu golongan lain.
وَأَمَّا مَنْ أُوتِيَ كِتَابَهُ بِشِمَالِهِ فَيَقُولُ يَا لَيْتَنِي لَمْ أُوتَ كِتَابِيَه. وَلَمْ أَدْرِ مَا حِسَابِيَهْ
Adapun orang yang diberikan menerima Kitab amalnya dengan tangan kirinya, maka ia akan berkata: “Alangkah baiknya kalau aku tidak diberikan Kitab amalku, - Dan aku tidak dapat mengetahui hitungan amalku” (Surah Al-Haqqah, 69: 25-26)
Ayat-ayat ini pula menerangkan situasi orang yang bakal menjadi penghuni api neraka. Ia begitu kecewa melihat amalnya selama ini sehingga ia berasa lebih baik tidak mendapat Kitab amalnya, apatah lagi untuk ditunjukkan kepada orang lain.
Tiada siapa yang tahu bilakah masanya peristiwa yang diceritakan ini akan terjadi. Mungkin 100 tahun lagi. Mungkin juga 1000 tahun lagi. Wallahua’lam, tetapi ia adalah sesuatu yang sudah pasti akan terjadi.
Namun, cuba bayangkan anda diberi peluang untuk menerima Kitab amal anda pada saat ini. Kitab yang ada mencatatkan setiap amalan baik dan buruk anda pada hari ini dan hari-hari sebelumnya dengan sempurna tanpa sebarang rahsia pun. Adakah anda rela menunjukkannya kepada sahabat-sahabat anda? Kepada ahli keluarga anda?
Ataupun anda akan berkata: “Alangkah baiknya sekiranya aku tidak menerima Kitab amalku.”
Hisablah diri kita sekarang. Lakukan perubahan sebelum tiba hari yang mana penyesalan tidak lagi bererti.
Wallahua’lam.
No comments:
Post a Comment