Sunday, December 4, 2011

Kembara Masjid

Program Kembara Masjid IkramTeens 2011


Alhamdulillah, buat julung kalinya IKRAMTeens Melaka telah berjaya melaksanakan program yang bertujuan untuk mendekatkan diri remaja dengan masjid.  Program berlangsung pada 28 - 29 November 2011.  Peserta telah mengembara ke 3 buah masjid di sekitar Ayer Keroh, Bandar Hilir dan Umbai, Jasin.  Seramai 14 orang peserta telah mengikuti program ini yang berumur antara 9 - 16 tahun.  Pada mulanya kami risau takut program ini tiada sambutan keranga ramai keluarga yang balik kampung sempena cuti maal hijrah. Pendaftaran peserta bermula di Masjid Al-Alami MITC Ayer Keroh.  Setiap peserta dikenakan bayaran RM15.00.

Peserta mengerjakan solat sunat tahiyatul masjid dan solat Dhuha.  Setelah itu Maksue sebagai penasihat program telah memberi taklimat kepada peserta tentang matlamat dan aturcara program keseluruhannya.  Program diteruskan dengan bacaan al-quran juzuk 1 sebanyak 2 mukasurat secara berkumpulan.  Target program ini ialah untuk menghabiskan satu juzuk.


Beruntung peserta kerana mendapat bimbingan tajwid daripada Ummi Kamariah.
Suasana di dewan solat masjid al-Alami MITC.
Di perkarangan masjid yang begitu cantik.  Peserta sudah bersedia untuk pengembaraan seterusnya.
Pengembaraan diteruskan menuju ke Dataran Pahlawan Bandar Hilir Melaka tepat jam 11.00 pagi dengan menaiki dua kereta yang dipandu oleh Maksue dan Ummi kamariah.

Tujuan utam ke Bandar Hilir ialah untuk mengedarkan risalah tentang Islam bertajuk 'Inspirasi'.  Artikel bertajuk Hijrah Kembara Kehidupan, telah diakseskan oleh Aizat. Beberapa peserta kelihatan sedikit gementar bila kena beri risalah terutama yang ada pengalaman 'manis' dihalau pakcik guard dataran Pahlawan masa program 3R ogos lepas. Di dalam kereta peserta diberi sedikit tunjuk ajar bagaimana cara nak berdepan dengan orang ramai ketika mengedarkan risalah. Yang utama, muka mesti selalu senyum dan bercakap dengan penuh sopan. Perjalanan mengambil masa setengah jam.  Keadaan di Bandar Hilir seperti biasa sibuk dengan kunjungan pelancong tempatan dan luar negara.  Kali ni peserta tidak perlu risau dengan pak guard kerana mereka akan berada di kawasan sekitar Menara Tamin Sari.
Setiap peserta diberi seorang 10 risalah dan mesti menghabiskannya.  Mereka bergerak dalam dua kumpulan.  Pelbagai pengalaman yang mereka lalui.  Antaranya ada juga orang yang menolak bulat-bulat risalah tersebut.  Ada buat isyarat macam dalam iklan tv yang tak merokok. Ada pula yang ambil tapi digunakan risalah tu untuk lapik makanan tanpa dibaca pun.  Apa lagi ini membuatkan peserta rasa marah dan kecewa.  Tak pa semuanya itu ujian dan dugaan bila nak menyebarkan Islam pada orang lain.
Ada juga peserta yang beri pada bukan Islam dengan harapan semoga mereka mendapat hidayah.  Ada juga yang beri pada polis yang meronda di situ dan rasa gembira kerana polis tak marah mereka pun. Polis hanya ambil tindakan kalau kita buat salah je..
Sementara peserta memberi risalah kami sebagai pengiring menyediakan makan tengahari dengan membelinya di kedai makan di Dataran Pahlawan.  Begitu gembira sekali tuan kedai melayan kami walaupun ada ramai lagi pelanggan.  Kakak yang layan kami tu terkejut bila dihulurkan risalah.  Entah apa yang difikirkannya.  Namun begitu dia mengambilnya dengan senyuman.
Yang bagusnya kamilah segalanya daripada AJK makanan, pengangkutan, penginapan dan fascilitator.  Tu la yang manisnya bila buat program musim cuti, semuanya balik kampung dan urusan keluarga.
Satu lagi pengalaman yang mendebarkan bila terpaksa menunggu satu kumpulan di depan Mc donald Dataran Pahlawan yang sibuk.  Hampir setengah jam Maksue menunggu.  Tak seorang pun yang ada handphone.  Dalam berfikir nak cari jalan keluar, tiba-tiba dapat call dari Fyrdaus yang menyatakan di mana lokasi mereka.
Rupanya mereka tersalah dengar arahan daripada Ummi mengenai lokasi menunggu kereta Maksue.  Yang bagusnya dia pinjam talipon pakcik guard dataran Pahlawan.  Alhamdulillah kami bergerak menuju ke masjid selat dan betul-betul tiba masa orang dah solat zohor jemaah.
Suasana di Masjid Selat amat nyaman sekali.  Angin bayu laut menghembus dengan begitu kuat sekali. Begitu ramai pelancong luar Melaka yang dapat solat di Masjid Selat ni.
Cantiknya masjid Selat..dengan pemandangan laut yang indah.  Terbukti kebesaran Allah dalam penciptaanNya.  Kami begitu tertarik dengan sebuah bot bergerak menggunakan roda membawa penumpang dari menara taming sari dan terus masuk ke dalam air menyusuri sekitar masjid selat.  Semua peserta seia sekata nak naik bot tu juga..Lain kali la...
Kami makan tengahari selepas solat zohor.
Sambil menikmati juadah makan tengahari kami berbual-bual tentang sains.  Ha...bincang bagaimana bayu laut terjadi. Yang dah belajar sains tu beria-ia memberi jawapan yang tepat.  Macam tula yang kita mahu.  Mengaplikasikan apa yang belajar dalam kelas untuk menerangkan fenomena alam.
Program tadarus diteruskan.  Kali ini bahagi kepada dua kumpulan dan dibimbing oleh Maksue dan Ummi.  Kami dapat habiskan empat mukasurat berserta terjemahannya sekali.
Selepas itu program diteruskan dengan tazkirah pendek yang disampaikan secara sukarela oleh Amir Fyrdaus selaku ketua ekspedisi ni.
Pertama kali membaca tazkirah.  Alhamdulillah Ummi memberi tunjuk ajar bagaimana nak menyampaikan tazkirah.
Bahan tazkirah bertajuk kelebihan solat jemaah di masjid disediakan oleh Maksue.  Tak sangka majlis berlangsung dalam keadaan yang begitu ceria dan peserta mengambil bahagian sangat aktif.  Siapa kata remaja kita tak minat dengan majlis ilmu.  Yang terkesan sekali bila dibaca tiga golongan yang masuk syurga tanpa dihisab iaitu golongan yang berada di masjid bila azan, golongan yang dalam perjalanan ke masjid bila dengar azan dan golongan yang bergegas keluar dari rumah bila dengan azan.  Masing-masing berazam untuk solat di masjid. Alhamdulillah.
Selepas tazkirah peserta diberi masa untuk berehat sementara menanti waktu asar.
Peserta paling muda..

Selepas solat asar kami bergerak ke Masjid Kampung Berangan Enam, Umbai Jasin. Kali ini kami bergerak menaiki 3 kereta, tambahan Naza Ria dipandu oleh Makcik Zuraidah sebab ada tambahan peserta yang berkumpul di Masjid Selat.
Tepat jam 6.00 petang kami tiba di masjid Umbai.  Perut terasa lapar.  Peserta diminta menguruskan diri sementara ummi dan maksue mencari makanan di Pekan Umbai.
Alhamdulillah kami dapat makan capati istimewa masakan melayu Umbai.
Alhamdulillah Abang Long tiba untuk memberi keceriaan kepada peserta.  Selepas solat Maghrib kami makan malam bersama dengan juadah nasi goreng ayam.
Peserta dikejutkan dengan kedatangan YDP Ikram - cikgu Aziz, TYDP Ikram - pakcu Aris, Pengerusi JKPemuda Belia - Pak Tam Rosli dan AJK IKram Bandar Melaka - Pakcik Mahad. Riuh rendah suasana bila Abang Long membuat aktiviti urut-urut picit-picit.
YDP memberi ucapan semangat kepada peserta supaya sentiasa menjadi remaja yang sentiasa cintakan masjid dan bila besar nanti meneruskan perjuangan menyebarkan Islam.
Abang Long memberi tazkirah tentang persediaan qiamulail dan peserta membuat perkongsian pengalaman mereka sepanjang hari.
Sebelum tidur peserta meneruskan bacaan quran.  Ada kumpulan yang berjaya selesaikan bacaan 1 juzuk.
Alhamdulillah peserta dapat mengerjakan qiamulail walaupun minima 2 rakaat solat tahajud. Pagi 29 November, Masjid Kampung Berangan Enam menerima 2 saf jemaah solat subuh.  Abang Long memberi kuliah subuh ringkas tengtang fadhilat solat dan fadhilat bangun awal pagi.
Aksi Abang Long menerangkan cara nak sujud dengan betul.
Masih tekun dan segar mendengar coleteh Abang Long.
Saat yang ditunggu peserta iaitu bermain futsall.  Mereka berjalan kaki ke tempat futsall sejauh 1/2 kilometer.
Mereka begitu gembira sekali dapat bermain.  Sekurang-kurangnya tidak lah mereka bosan dengan aktiviti di dalam masjid sahaja.  Budak lelaki memang suka aktiviti lasak.
Program kembara masjid tamat tepat jam 10 pagi.  Peserta membuat resolusi iaitu:
1.  Sedaya upaya solat jemaah di masjid atau surau berhampiran.  Jika jauh dari rumah, ajak ayah untuk pergi bersama-sama.  Jika ayah beri alasan, bacakan 3 golongan masuk syurga tanpa hisab.
2. Sedaya upaya lakukan solat sunat seperti tahiyatul masjid, solat dhuha, solat sunat rawatib, qiamulail
3. Sentiasa membaca quran.
Semoga segala amalan yang dilakukan semasa program Kembara Masjid ini mendapat keberkatan dan diterima sebagai amalan yang soleh.  Inilah titik permulaan yang baik bagi remaja dalam IKRAMTeens Melaka mengorak langkah menjadi penjuang Islam. InsyaAllah.
Laporan daripada: Maksue

Saturday, December 3, 2011

Penebang Pokok dan kapak Tumpul

                            
AL-KISAH pada masa zaman dulu ada seorang penebang kayu menerima pelawaan daripada seorang majikan untuk memotong pokok di hutannya.
Kerana gaji dan kerja yang dijanjikan sangat lumayan, penebang pokok itu bertekad untuk bekerja sebaik mungkin demi membalas budi dan kepercayaan yang diberikan kepadanya. 
Ketika mula bekerja, majikannya memberikan sebilah kapak dan menunjukkan kawasan kerja yang perlu dilakukan dalam masa yang ditentukan. 

Hari pertama bekerja, dia berjaya menumbangkan lapan batang pokok. Pada petangnya, selepas mendengar hasil kerjanya sangat baik, majikan itu memberikan pujian kepadanya.


“Hasil kerjamu sungguh luar biasa! Saya sangat kagum dengan kemampuan kamu menebang pokok itu. Belum pernah ada sesiapa sepertimu sebelum ini. Teruskan bekerja seperti itu,” kata majikan itu.

Pujian daripada majikannya itu memberikannya motivasi untuk terus melaksanakan kerjanya. Pada keesokan harinya, penebang itu bekerja lebih keras lagi, tetapi kali ini dia hanya berjaya menumbangkan tujuh batang pokok.

Hari ketiga pula, dia bekerja lebih keras lagi namun hasilnya tetap tidak memuaskan bahkan mengecewakan. Semakin hari semakin sedikit pokok yang ditebangnya.

“Sepertinya aku kehilangan kemampuan dan kekuatanku, bagaimana aku dapat terus bertanggungjawab hasil kerjaku kepada majikan?,” fikir penebang pokok itu kerana dia merasa malu dan putus asa.

Dia menghadap majikannya sambil kepalanya tertunduk lalu meminta maaf atas hasil kerja yang kurang memberangsangkan itu.

Dia mengeluh kerana tidak mengetahui apa yang terjadi.

Majikan itu bertanya kepadanya: “Bila masanya kamu mengasah kapak kamu?””Mengasah kapak? Saya tidak mempunyai masa untuk itu, saya sangat sibuk setiap hari menebang pokok dari pagi hingga petang dengan sekuat tenaga,” kata penebang itu.

“Nah, di sinilah masalahnya. Ingat, hari pertama kamu kerja? Dengan kapak baru yang terasah tajam, maka kamu mampu menebang pokok dengan hasil luar biasa.

“Hari-hari berikutnya, dengan tenaga yang sama, menggunakan kapak yang sama tetapi tidak diasah, kamu tahu sendiri, hasilnya semakin menurun.

“Maka, sesibuk mana pun kamu perlu meluangkan masa untuk mengasah kapakmu, supaya setiap hari kamu bekerja dengan tenaga yang sama dan hasil yang maksimum.

“Sekarang pergilah asah kapakmu dan segera kembali bekerja!,” perintah majikan.

Sambil mengangguk-anggukkan kepala dan mengucap terima kasih, penebang itu berlalu di hadapan majikannya untuk mengasah kapaknya.

Sebenarnya betullah kata bijak pandai. Istirahat bukan bererti berhenti, tetapi untuk menempuh perjalanan yang lebih jauh lagi dan mencabar.

Sama seperti penebang pokok itu, kita pun setiap hari dari pagi hingga malam hari, seolah-olah terjebak dalam kesibukan.

Sibuk, sibuk dan sibuk, sehingga sering kali kita lupa untuk berehat iaitu istirahat seketika mengasah serta mengisi hal-hal baru untuk menambah pengetahuan, wawasan apa lagi soal spiritual, ibadah, soal matlamat supaya kita lebih bermotivasi.

Jangan sibuk mencari kelemahan dan kesilapan orang lain, tetapi sibuklah mencari kesilapan sendiri, dengan bermuhasabah, bermujahadah dengan memperbanyakkan membaca.

Dengan ilmu sahajalah kita boleh berada di mana sahaja sebab ilmu yang kita galas tidak pernah membebankan kita. Ilmu bagaimana mengenal Allah mesti diperbaharui, ilmu mengenai kenabian, malah ilmu diri kita sendiri.

Dari mana kita datang, di mana kita sekarang, apa yang patut kita lakukan sekarang di dunia dan selepas ini ke mana kita akan pergi. Semoga tazkirah kali ini kita sentiasa tajam dengan ilmu dan keprihatinan terhadap tanggungjawab seharian barulah hari mendatang menjadi lebih baik dari semalam, dan hari esok lebih baik dari sebelumnya.

Friday, December 2, 2011

Tanda-tanda kematian dalam Husnul Khatimah

KEMATIAN adalah satu perkara pasti yang mesti dilalui setiap manusia. Maka kita perlu me�nyediakan bekalan secukupnya bagi menghadapinya.
Kematian bukanlah jalan pengakhiran kerana kita akan melalui alam barzakh sebagai tempat persinggahan sebelum menuju alam akhirat. 
Jika baik amalan kita di dunia, maka baik juga ketika berada di alam kubur. Sebaliknya, jika buruk amalan kita maka seksaan berat pasti menanti. 
Sedar atau tidak, sesung�guhnya manusia sedang menuju kepadanya. Tidak kira tua, muda, sihat atau sakit ia proses alamiah kepada sebuah kehidupan.


Allah berfirman yang bermaksud: “Katakanlah sesung�guhnya kematian yang kamu semua melarikan diri darinya itu, pasti akan menemui kamu, kemudian kamu semua akan dikembalikan ke zat yang Maha Mengetahui segala yang ghaib serta yang nyata.” (Surah Jum’ah ayat 8)


Sentiasa mengingati mati dan bersiap sedia menghadapinya supaya kita dapat menuju ke alam baka dengan membawa kemuliaan dunia dan akhirat.

Kita mengharapkan supaya dapat mengakhiri kehidupan dalam keadaan ‘husnul khatimah.’ Berikut antara tanda-tanda kita mati dalam keadaan husnul khatimah antaranya:

1. Mengucapkan kalimah syahadah ketika wafat. Rasulullah bersabda, maksudnya: “Sesiapa yang pada akhir kalimahnya mengucapkan La ilaaha illallah maka ia dimasukkan ke dalam syurga.” (Hadis Riwayat Hakim)

2. Ketika wafat dahinya berkeringat. Ini berdasarkan hadis dari Buraidah Ibnul Khasib. Adalah Buraidah dahulu ketika di Khurasan, melihat saudara�nya yang tengah sakit, namun didapatinya ia sudah wafat dan terlihat pada jidatnya (dahi) berkeringat, kemudian dia berkata: “Allahu Akbar, sungguh aku telah mendengar Rasulullah bersabda: ‘Matinya seorang mukmin adalah dengan berkeringat dahinya.’ (Hadis Riwayat Ahmad, an-Nasai, at-Tirmidzi, Ibnu Majah, Ibnu Hibban, Al-Hakim dan ath-Thayalusi dari Abdullah bin Mas’ud)

3. Wafat pada malam Jumaat. Hal ini berdasarkan sabda Rasulullah bermaksud: “Tidaklah seorang Muslim yang wafat pada hari Jumaat atau pada malam Jumaat kecuali pastilah Allah menghindarkannya dari seksa kubur.” (Hadis Riwayat Ahmad)

4. Mati syahid di dalam medan perang.

5. Mati dalam peperangan fisabilillah. Rasulullah bersabda, maksudnya: “Apa yang kalian kategorikan sebagai orang yang mati syahid antara kalian? Mereka menjawab: “Wahai Rasulullah yang kami anggap sebagai orang yang mati syahid adalah siapa saja yang mati terbunuh di jalan Allah.”

Baginda bersabda: “Kalau begitu umatku yang mati syahid sangatlah sedikit.” Kalangan sahabat kembali bertanya: “Kalau begitu siapa sajakah dari mereka yang mati syahid wahai Rasulullah?”

Baginda menjawab: “Sesiapa yang terbunuh di jalan Allah, yang mati sedang berjuang di jalan Allah dan yang mati kerana penyakit kolera, yang mati kerana penyakit perut (iaitu disebabkan penyakit yang menyerang perut seperti busung lapar atau sejenis�nya), dialah syahid dan orang yang mati tenggelam, dialah syahid.” (Hadis riwayat Muslim, Ahmad dan al-Baihaqi) 

6. Mati disebabkan penyakit kolera. Mengenai ini banyak hadis Rasulullah s.a.w meriwayatkan antaranya sebagai berikut: Rasulullah bersabda, maksudnya: “Penyakit kolera adalah penyebab mati syahid bagi setiap Muslim.” (Hadis riwayat Bukhari, ath-Thayalusi dan Ahmad)

7. Mati kerana tenggelam.

8. Mati kerana tertimpa runtuhan/tanah. Dalil dari dua perkara di atas adalah berdasarkan sabda Rasulullah bermaksud: “Kalangan syuhada itu ada lima; orang yang mati kerana wabak kolera, kerana sakit perut, tenggelam, tertimpa runtuhan bangunan dan syahid berperang di jalan Allah.” (Hadis riwayat Imam Bukhari, Muslim, at-Tirmidzi dan Ahmad)

9. Perempuan yang meninggal kerana melahirkan anak.

10. Mati terbakar.

11. Mati kerana penyakit busung perut.

Mengenai dua perkara ini banyak riwayat dan yang paling masyhur dari Jabir bin Atik secara marfu’: “Kala�ngan syuhada ada tujuh: Mati terbunuh di jalan Allah, kerana penyakit kolera adalah syahid, mati tenggelam adalah syahid, kerana busung lapar adalah syahid, kerana penyakit perut keracunan adalah syahid, kerana terbakar adalah syahid dan yang mati kerana tertimpa runtuhan (bangunan atau tanah gelongsor) adalah syahid serta wanita yang mati ketika hamil adalah syahid.” (Hadis riwayat Imam Malik, Abu Daud, an-Nasa’i, Ibnu Majah dan Ahmad)

12. Mati kerana penyakit tubercolosis (TBC). Ini berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w, maksudnya: “Mati di jalan Allah adalah syahid dan perempuan yang mati ketika melahirkan adalah syahid, mati kerana terbakar adalah syahid, mati kerana tenggelam adalah syahid, mati kerana penyakit TBC adalah syahid dan mati kerana penyakit perut adalah syahid.” (Hadis riwayat Thabrani)

13. Mati kerana mempertahankan harta dari perompak. “Sesiapa yang mati kerana mempertahankan hartanya (dalam riwayat lain; Sesiapa menuntut hartanya yang dirampas lalu ia terbunuh) adalah syahid.” (Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Abu Daud, an-Nasa’i, at-Tirmidzi, Ibnu Majah, dan Ahmad)

14. Mati dalam membela agama dan jiwa. “Sesiapa terbunuh dalam membela hartanya, dia mati syahid; siapa saja yang mati membela keluarganya, dia mati syahid; sesiapa mati membela agama (keyakinannya), dia mati syahid dan siapa saja yang mati mempertahankan darah (jiwanya) dia syahid.”

15. Mati dalam berjaga-jaga (waspada) di jalan Allah. Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Berjaga-jaga (waspada) di jalan Allah sehari semalam adalah lebih baik daripada berpuasa selama sebulan dengan mendirikan (solat) pada malam harinya. Apabila dia mati, mengalirkan pahala amalannya yang dahulu dilakukannya dan juga rezekinya serta aman dari seksa kubur (fitnah kubur).”

16. Orang yang meninggal ketika mengerjakan amal soleh. Semoga kematian kita dalam husnul khatimah.



Ustaz Mohd Zawawi Jusoh

Kebahagian terpancar daripada Keberkatan Allah

UMAT Islam perlu mencari keberkatan kerana tanpanya jiwa pasti tidak akan berasa tenang dan puas. Allah berfirman yang bermaksud: “Dan sungguh akan Kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar, (iaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan: ‘Inna lillaahi wa innaa ilaihi raaji’uun’. Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat dari Tuhan mereka dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk. (Surah al-Baqarah ayat 155-157)


Ada golongan berusaha siang malam mencari rezeki. Malah, sanggup menggadai nyawa tetapi mengapa ia tidak memberikan jaminan kebahagiaan? 
Mengapa ada yang memiliki rumah besar dan megah, tetapi masih tidak gembira? Bahkan mereka bermati-matian mencari kebahagiaan dan ketenteraman, sedangkan apa yang mereka peroleh ialah masalah. Kenapa ia berlaku?

Antara sebabnya ialah tiada keberkatan. Rasulullah s.a.w mendoakan sahabatnya di majlis perkahwinan semoga rumah tangga berkat.

Malah, supaya dapat kaya, kekayaan yang berkat, sahabat yang ada ilmu berdoa ilmu berkat.

Berkat ialah pelbagai guna, bermanfaat di dunia dan akhirat. Kita tidak hanya boleh berbangga dengan apa yang kita miliki, tetapi yang patut dibanggakan ialah keberkatan menerima nikmat.

Jadi, bukannya kita patut takut tidak memiliki sesuatu, tetapi harus
takut sesuatu yang dimiliki tidak berkat. Keberkatan maknanya subur, dengan kebaikan, permohonannya diterima dan kebahagiaan.

Jadi, keberkatan membawa ke syurga sebaliknya tanpa keberkatan kita dibawa ke neraka. Doa yang kita pinta ketika makan berbunyi: “Wahai Tuhanku berkatilah apa yang Engkau berikan pada kami ini dan selamatkanlah daripada api neraka.” Maknanya makanan yang tidak berkat walaupun sesuap boleh bawa ke neraka.

Apa lagi kalau harta berlambak-lambak, ilmu melaut dan pelbagai gelaran. Menurut sejarah, Umar Abdul Aziz ketika menjalankan tugas pada malam hari di Baitulmal tiba-tiba anaknya mengetuk pintu.

Apabila dilihat anaknya yang ingin bertanya mengenai urusan rumah tangga, beliau terus memadamkan lampu. Si anak bertanya: “Kenapa ayah padamkan lampu.” Jawab Umar: “Kerana minyak lampu ini milik negara.

Ia tidak layak untuk urusan peribadi. Inilah contoh keberkatan dalam erti kata yang sebenar. Keberkatan meliputi soal wajib, sunat, harus, makruh dan haram.

Wajib, mesti buat dan jika buat dapat pahala besar tetapi jika tidak buat dosa besar. Perkara yang harus diberikan pilihan, yang makruh patut dijauhi manakala yang haram mesti dijauhi.

Kunci kebahagiaan ialah bersederhana di samping pengurusan yang pintar dan segala aktiviti mesti sesuai dengan syariat Allah s.w.t.

Contoh kecil yang dianggap remeh manusia hari ini ialah waktu solat.

Mencari harta jangan sampai melupakan solat, mencari harta jangan sampai lupa kepada halal haram. Mencari untung patut dikerjakan sebanyak mungkin, tetapi apalah ertinya keuntungan jika membabitkan soal haram yang dimurkai Allah.

Pelajar sebagai contoh, apalah ertinya berjaga malam, bersengkang mata, belajar dan mengulangkaji, tetapi esoknya tidak mengerjakan solat Subuh.

Ilmu yang tidak berkat ialah ilmu yang ada di akal, ilmu dalam bentuk maklumat dan pengetahuan, tidak menjadi cahaya dan petunjuk.

Apabila ilmu tidak berkat, ia hanya boleh berhujah, tetapi tidak boleh merubah mereka.



Ustaz Mohd Zawawi Jusoh

Kajang Bah

SEORANG lelaki melihat kereta-kereta yang hampir ditenggelami air banjir di sebuah kawasan letak kereta dalam bangunan di Kajang, semalam.

HULU LANGAT 2 Dis. - Hujan lebat yang melanda beberapa kawasan di sekitar daerah ini sejak pukul 2 petang mengakibatkan banjir kilat melanda pusat bandar Kajang dan beberapa kawasan di sekitar daerah ini, petang ini.
Selain pusat bandar Kajang yang dilanda banjir kilat apabila paras air naik setinggi 0.3 meter, banyak kenderaan terperangkap dan ditenggelami air sejak banjir melanda kira-kira pukul 3 petang.
Beberapa premis perniagaan antaranya Plaza Metro Kajang dan Bank Hong Leong cawangan Kajang turut dinaiki air setinggi 0.2, manakala kawasan lain yang terlibat adalah pekan Semenyih berhampiran jalan ke Bangi Lama, Pasar Besar Kajang dan Jalan Jelok.
Selain itu, Sungai Kantan dan Jalan Semenyih berhampiran Klinik Kajang dan Jalan Kelapa turut ditenggelami air.
Di sebuah kedai di pusat bandar Kajang, seorang wanita berusia lingkungan 30-an yang terperangkap dalam banjir itu terpaksa diselamatkan dengan menggunakan tangga oleh orang ramai setelah dia terperangkap di atas bumbung sebuah kereta.
Di Sungai Kantan, banjir turut melanda beberapa kawasan perumahan di situ sehingga menyebabkan sembilan penduduk termasuk tiga warga emas terpaksa dipindahkan setelah terperangkap di rumah masing-masing.
Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohamad Sani Harul berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian banjir itu kira-kira pukul 3.51 petang.
"Sebanyak 14 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kajang serta Cheras bergegas ke lokasi kejadian. Kami turut dibantu oleh anggota polis dan skuad penyelamat Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) untuk menjalankan operasi menyelamat mangsa yang terperangkap dalam banjir kilat ini.
"Pemantauan turut dijalankan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini," katanya ketika dihubungi.
Tambah beliau, hujan lebat mengakibatkan paras air di Sungai Jelok melimpah dan membanjiri beberapa kawasan rendah di sekitar pusat bandar Kajang.
"Air dikatakan naik sehingga ke paras pinggang namun banjir kilat ini kembali surut kira-kira pukul 5.30 petang ini," katanya.
Mohamad Sani berkata, sehingga kini, tiada kecederaan mahupun kemalangan jiwa berlaku namun kerugian yang dialami kebanyakan mangsa agak tinggi.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab. Rashid Ab. Wahab berkata, banjir yang berlaku hari ini adalah paling teruk dalam tempoh lima tahun lalu.
"Banyak kenderaan ditenggelami air setelah hujan yang begitu lebat turun di sekitar daerah ini. Polis kini meningkatkan kawalan bagi memastikan keselamatan di kawasan terlibat," katanya.