Showing posts with label Ubat Hati. Show all posts
Showing posts with label Ubat Hati. Show all posts

Wednesday, May 9, 2012

4 Tanda Hidup Tak Berkat

 

Salam, banyak sebenarnya tanda-tanda jika kehidupan kita ini tidak mendatangkan keberkatan namun sebahagian tanda-tanda dibawah ini juga jelas membayangkan kehidupan kita ini tidak mendatangkan keberkatanNYA Na’uzubillah

Tanda-tanda hidup kita tak berkat ialah :

1. Duit banyak, tapi cepat jer habis.
Tak tau duit pergi mana. Pendapatan bertambah, tapi asyik tak cukup jer. Duit banyak dihabiskan pada benda yang sia-sia. Patutnya bila duit dapat banyak, sedekah pun kena la bertambah. Tapi tak, kita jadi makin kedekut. Sedekah tak bertambah, duit tetap habis ke tempat lain.

2. Buat kerja, tak siap.
Projek ada macam-macam, idea banyak, tapi satu pun tak berjaya. Macam-macam usaha dibuat, macam-macam projek kita cuba nak lakukan, tapi semuanya tergantung. Semuanya tergendala. Satu pun tak berjaya. Kalau ada yang menjadi, tapi tak seperti yang dirancangkan.

3. Buat sesuatu, tak dapat manfaat.
Baca buku banyak, tapi ilmu satu pun tak lekat. Nasihat orang pandai, tapi diri pun tunggang langgang.

4. Masa habis dengan sia-sia.
Kononnya sibuk, tapi sebenarnya banyak masa dihabiskan dengan perkara yang sia-sia. Leka main fesbuk, leka tengok TV, leka berborak dengan kawan, leka main game, leka melepak dengan kawan-kawan. Tapi nak luang baca Quran 5 minit sehari pun tak boleh. Solat pun akhir waktu. Solat tak sampai 5 minit. Zikir langsung tak amal. Malah nak berdoa untuk diri sendiri pun malas.

Adakah anda salah seorang yang mengalami atau merasai tanda-tanda di atas?

Mari kita sama-sama muhasabah diri. Tanya pada diri, adakah kita salah seorang daripada orang yang tidak mendapat keberkatan dari Allah.

Aduh, alangkah malang dan rugi nya kalau kita gagal mendapat keberkatan dalam hidup ini. Kerana kita bukan saja akan rugi di dunia ini, malah akan bangkrap di akhirat nanti. Na’uzubillah. Sama-sama kita taubat dan mohon taufik hidayah daripada Allah ta’ala untuk memperbaiki iman dan amal kita masing-masing. Sama-sama muhasabah dan mengingati diri sendiri juga

Monday, April 23, 2012

Kita berkhalwat dengan Allah

Waktu munajat yang paling baik ialah anda berkhalwah (bersendirian) dengan Tuhanmu  apabila manusia lain tidur dengan nyenyak di kala waktu malam, seluruh alam semesta dalam suasana tenang, malam yang kian pekat dan bintang-bintang kian padam. Anda menghadirkan hati untuk berzikir dan mengingati Allah, merasai kelemahan diri anda dan mengakui keagungan Tuhanmu. Bermesra dengan kehadiranNya, merasa tenteram dengan mengingatiNya, bergembira dengan kemuliaan dan rahmatNya, menangis kerana takutkanNya, merasakan pengawasanNya. Dalam pada itu, anda memanjatkan doa, bersungguh-sungguh meminta ampun, dan menyampaikan hajat anda kepada Tuhan yang tidak akan lemah untuk memenuhinya dan tiada sesuatu yang dapat melekakanNya daripada berbuat sesuatu:

“Sesungguhnya keadaan kekuasaanNya apabila Ia menghendaki adanya sesuatu, hanyalah Ia berfirman kepada (hakikat) benda itu: ” Jadilah engkau! “. Maka ia terus menjadi. (Yassin: 82)

Anda meminta-Nya untuk kehidupan di dunia dan akhirat, jihad, dakwah, harapan, cita-cita, tanahair, keluarga, diri anda sendiri dan saudara-saudara anda:

“Kemenangan itu pula hanyalah dari sisi Allah. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (Al-Anfal: 10)

Pernahkah anda cuba bersendirian dengan Allah!? Alangkah menakjubkan kelazatan ini!!
Dalam kegelapan malam ramai manusia yang lena  Mereka bersama-sama tenggelam dalam menikmati kehangatan malam..
Dalam mimpi yang paling indah mereka rasainya    Mereka menyangka bahawa mereka menikmatinya..
Tetapi sebenarnya mereka tertegah daripada menikmati   Rakaat-rakaat solat di tengah-tengah suasan yang damai..
Tertegah daripada menikmati kesucian berkhalwah kerana mereka terus terlena   Tertegah daripada menikmati bahtera ‘ibad (ahli ibadah) kerana mereka telah tertinggal..

Adakah anda telah mencuba dan telah merasai nikmatnya!!?

Orang yang merasai nikmat berkhalwah tahu kebahagiaan yang berlaku .. Allah memberikan anda angin daripada nikmat kerohanian ini sepertimana mereka yang telah melalui pengalaman dan merasai kemanisan menakjubkan yang tidak mampu digambarkan dengan perkataan, yang merupakan detik-detik dari hidup anda ..!!, Namun ada orang yang berkata bahawa satu detik yang sebenar dan tulen dengan Allah dan kerana Allah adalah salah satu masa-masa di dunia?!

Tentulah tidak .. tentulah tidak.. Tentulah tidak demi Tuhan. Malah ia adalah detik akhirat yang sebenar,  yang menyamai seluruh isi dunia termasuk segala-gala yang ada di dalamnya! Ini bukan sekadar kata-kata.

Demi Allah, ianya adalah detik yang membersihkan rohani, menggilapkan hati, menyucikan jiwa, menjernihkan perasaan, menghidupkan sanubari dan mengisi hati dengan cahaya langit; sehingga menitiskan air mata ketika anda sedang bermunajat kepada Tuhan mu.

Di dalam solat malam terdapat bekalan yang padu. Di dalam solat malam juga terdapat energy dan bahan bakar .. Rakaat di tengah-tengah malam ini hanya diketahui oleh Allah, di mana ruh  akan melalui suatu perjalanan yang sungguh ajaib kerana anda memperolehi keberkatan, kerahmatan dan kebaikan. Nur memenuhi hati anda di dalam rakaat jika anda membetulkan arah hati anda ke langit.. Pemberian ilahi yang tertentu untuk memberi peluang anda menceduk nur daripada limpahan nur Allah. Dari itu, orang-orang soleh pada setiap masa dan tempat sentiasa berjinak-jinak pada malam hari; kerana mereka dapat bersendirian dengan Allah SWT satu detik daripada masa mereka. Mereka mendapati diri mereka berada di atas pintu akhirat!! Dan di mana ianya menyegarkan rasa hati mereka, mengambil bekal darinya untuk siang hari ketika mereka menjalani hidup dan penghidupan. Kembalilah kepada perjalanan hidup orang-orang soleh, membaca, merenung, mengkaji dan memerhatikan, di mana wujud persamaan dan seiringan di antara mereka sehingga didapati mereka merasai keseronokan semasa berqiamullail.

Hasan al-Basri telah ditanya oleh seorang yang berkata: Kenapakah orang-orang yang bertahajjud merupakan orang yang paling bersinar pada wajah mereka!? Beliau menjawab:  Mereka ialah orang-orang yang bersendirian dengan Allah sehingga dilimpahkan salah satu cahaya kepada mereka.

Cubalah saat yang indah ini niscaya anda tidak akan rugi. Ini kerana hubungan dengan Allah tidak perlukan percubaan; mereka dijamin untung dan hasil yang hebat. Dalam pada itu,  saya  katakan kepada anda bahawa ianya termasuk dalam pintu-pintu pemeliharaan; Tiada apa yang salah .. Cubalah, anda tidak akan kerugiaan apa-apa, tetapi dengan syarat: Adakah tidak tergesa-gesa, tetapi anda mestilah bersabar, tabah dan cekal mengetuk pintu itu sehingga dibuka untuk anda, dan anda terus-menerus sehingga terpancut mata air yang segar dengan murah hati. Pada satu hari sahaja anda akan sedar bahawa anda bagaikan telah dilahirkan sekali lagi .. Dan janganlah lupa munajat (monolog) Ibn Atoillah as-Sekandari: "Wahai Tuhanku, inilah diriku yang hina secara zahir berada di hadapan-Mu. Inilah keadaan diriku yang tiada  lagi rahsia kepada-Mu. Kepada-Mu aku memohon petunjuk daripada-Mu, bimbinglah aku dengan cahaya-Mu kepada hidayah-Mu. , Tunjukanlah aku ibadah yang tulus kepada-Mu. Wahai Tuhanku, ajarkanlah kepadaku dari ilmu-ilmu Mu yang masih tersimpan. Peliharalah diriku dengan nama-nama Mu yang terpelihara. Kepada-Mu aku berserah, maka janganlah sia-siakan penyerahanku ini. Kepada-Mu aku meminta, maka janganlah abaikan permintaanku ini. Dengan keagungan-Mu aku inginkan, maka janganlah tolak keinginanku ini. Dengan di sisi-Mu aku bernaung, maka janganlah Engkau jauhkan diriku daripada naungan-Mu. Di pintu-Mu aku berdiri maka janganlah Engkau halau aku daripada pintu-Mu.

Saturday, December 17, 2011

Kemanisan Iman

Impian Yang Mesti Dicapai


Suatu hari kita menjamah makanan yang sangat lazat, keenakkanya membuatkan hati ini seolah-olah berkata ingin dimakan kesemuanya.  Meja yang besar cuba dipenuhi. Namun perut yang kecil menjadi penghalang.  Selesai sahaja kita makan, perut sudah mula memulas, nafas semakin lelah.  Bahkan perut yang penuh tidak membuatkan kita teruja untuk menyuap lagi hidangan walaupun dijamu menu yang lebih menyelerakan. Bukan tdak sedap, tetapi itulah dinamakan resmi perut...bila lapar semuanya manis, bila kenyang semuanya pahit.



Bagaimana pula denga pelaku maksiat.  Bermula dengan rokok, kemudian arak, berjudi, ke disko dan akhirnya terjerebak ke kancah penzinaan.  Semua jenis wanita sudah dia gauli.  Dari yang berkulit sawo matang, kuning langsat, hinggalah ke hitam berkilat.  Lalu akhirnya jika ditanya kepadanya, 'Apa lagi yang ia mahukan?  Adakah tidak merasa bosan.  Bukankah klimaks segala maksiat sudah dicapai 'KPI' nya?


SYURGA DI DEPAN MATA?
Inilah realiti dunia.  Ada awal, ada juga kesudahannya.  Kesimpulannya, anda sama sekali tidak akan mendapatkan kebahagiaan di dunia daripada awal hingga akhir kecuali kesudahan yang mencacatkan!


Jika kia inginkan kebahagiaan tanpa kebosanan carilah di syurga.  Namun ramai yang tidak mencarinya hanya kerana ia tidak nampak di hadapan mata.  Berapa ramai yang berimaginasi rumah idaman, kereta impian, anak dan keturunan.  Namun jarang orang berfikir tentang istana syurga masa hadapan.  


Nabi s.a.w. bersabda dalam sebuah hadis Qudsi yang diriwayatkan oleh al-bukhari dan Muslim yang bermaksud: "Allah berfirman,"Aku telah mempersiapkan syurga bagi hamba-hambaKu yang soleh apa yang mata belum melihat, telinga belum mendengar dan tidak terdetik dalam hati manusia."
Syurga itu sudah dipersiapkan sejak suatu zaman.  Hadis ini telah diucapkan sejak seribu empat ratus tahun yang lalu, dan sejak masa itu telah menggunakan kata kerja masa lalu.  Mengapa demikian?
Ini kerana Allah sudah bersiap daripada awal untuk menyambut tetamuNya.  Sama seperti bersemangatnya seorang ibu menyiapkan kamar indah dan makanan yang enak untuk menyambut kepulangan anaknya ke tanah air setelah bertahun di luar negara.  
Dalam riwayat Turmizi dan Ahmad, sahabat bertanya kepada Nabi s.a.w. :"Wahai Rasulullah, ceritakan kepada kami bangunan di dalam syurga." Nabi s.a.w menjawab: "Batu batanya daripada emas dan perak, manakala tanah liatnya daripada kasturi yang amat wangi."


INDAHNYA SYURGA
Gambaran keindahan syurga membuatkan penghuninya menjadi begitu sibuk.  Tetapi bukan sibuk seperti kesibukan dunia.  Hakikatnya sibuk di sana adalah sibuk menikmati nikmat syurga sehingga terlupa sesiapa sahaja.  Firman Allah dalam surah Yassin ayat 55: "Sesungguhnya penghuni syurga pada hari itu bersenang-senang dalam kesibukan (mereka)"
Bahkan bagi sang pencinta wanita pasti terkesima dengan janji bidadari bagaikan tidak termimpi.  Manakan tidak...sekaya mana harta melimpah, mahupun sekacak mana kita di dunia, belum tentu ayat manis kita mampu memikat Ratu Cantik Dunia.  Namun jika poket  yang kosong tetapi berbekalkan iman yang tebal pasti boleh menemukan kita dengan bidadari syurga.  Firman Allah di dalam surah al-Waqiah ayat 36-37 : "Dan Kami jadikan mereka gadis-gadis perawan.  Penuh cinta lagi sebaya umurnya."
Para ulama memberi penafsiran bahawa 'sebaya umurnya' bermaksud umurnya sekitar enam belas tahun.  Manakala 'penuh cinta' itu bermaksud si bidadari bijak mengambil hati suaminya.  Hingga berkata Ibn Qayyim al-Jauziyyah suaminya akan terbuai dengan kata cintanya hingga dia lupa pada syurga dan terus hatinya terpaut kuat pada isterinya.


MEREALISASIKAN IMPIAN
Wahai anak muda.  Sesuatu yang memasakkan hati dan mengendurkan maksiat ialah dengan me'mimpi'kan syurga.  Jika tidak mampu melawan maksiat, maka bayangkanlah syurga.  Lalu katakan pada diri kita.  "Apakah aku akan rela kehilangan syurga?"  Syurga yang luasnya seluas langit dan bumi hilang dek kerana hanya maksiat selama sejam?  Bukankah sedetik nikmat di syurga lebih indah dari dunia dan seiisinya.  Dalam riwayat Muslim dan Ahmad, Nabi s.a.w bersabda: "Pada hari kiamat didatangkan manusia yang paling bahagia di dunia.  Kemudian dia dicelup sedetik ke dalam neraka dan ditanya kepadanya:'Pernahkan kamu melihat kenikmatan di dunia?"  Dia menjawab, 'Tidak, aku belum pernah melihat kenikamatan sama sekali.' Kemudian didatangkan manusia yang paling sengsara di dunia.  Lalu dia dicelup sedetik ke dalam syurga dan ditanya kepadanya: 'Pernahkah kamu melihat kesengsaraan di dunia?' Dia menjawab, "Tidak, demi Allah aku sama sekali belum pernah melihat kesengsaraan."
Masya-Allah.  Dengan sedetik celupan di akhirat melupakan bertahun lamanya pengalaman hidup di dunia.  Betapa agung nikmat Allah pada hamba-hambaNya yang bermatlamatkan akhirat.  Andai ianya cita-cita maka untunglah selamanya.  Beginikah Allah menggambarkan syurga?  Adakah seindah itu istana takhtanya? Adakah kekasihku di dunia setara bidadariNya?  Jawapan yang pasti sudah tentu tidak.  Namun, persoalannya adakah mata kasar kita dapat membayangkan keindahan syurga?  Percayalah, sekiranya kita masih dapat membayangkan syurga, maka itu bukanlah syurga sebenarnya.  Kerana hakikat syurga ialah suatu yang tidak tergambar di mata, tidak terdengar di telinga dan tidak terdetik di hati.  Ya Allah....saksikanlah bahawa aku sedang angaukan syurga!


Imam Muda Asyraf

Friday, December 16, 2011

INILAH MAKNA BAHAGIA

                        



Bahagia itu fitrah tabie manusia. Semua orang ingin bahagia. Jika ada manusia yang berkata, alangkah bahagianya kalau aku tidak bahagia, dia layak dihantar ke Hospital Bahagia. Kenapa? Sudah tentu orang itu tidak siuman lagi. Manusia yang siuman sentiasa ingin dan mencari bahagia. Bahkan, apa sahaja yang diusahakan dan dilakukan oleh manusia adalah untuk mencapai bahagia.







• Bahagia itu relatif?
Malangnya, keinginan manusia untuk bahagia sering tidak kesampaian. Ini disebabkan ramai manusia tidak tahu apa makna bahagia sebenarnya dan mereka juga tidak tahu bagaimanakah caranya untuk mendapatkannya. Jika kita mencari sesuatu yang tidak diketahui dan dikenali, sudah pasti kita tidak akan menemuinya. Oleh itu, usaha mencari kebahagiaan itu mestilah bermula dengan mencari apa erti kebahagiaan itu terlebih dahulu.

Apakah erti bahagia? Ada yang beranggapan erti bahagia itu relatif. Ia berubah-ubah dan berbeza antara seorang individu dengan yang lain. Bagi yang sakit, sihat itu dirasakan bahagia. Tetapi apabila sudah sihat, kebahagiaan itu bukan pada kesihatan lagi. Sudah beralih kepada perkara yang lain lagi. Bagi golongan ini kebahagiaan itu adalah satu “moving target” yang tidak spesifik ertinya.  
Ada pula golongan pesimis. Mereka beranggapan bahawa tidak ada bahagia di dunia ini. Hidup adalah untuk menderita. Manusia dilahirkan bersama tangisan, hidup bersama tangisan dan akan dihantar ke kubur dengan tangisan. Bahagia adalah satu utopia, ilusi atau angan-angan. Ia tidak ujud dalam realiti dan kenyataan.
 Sumber dalaman atau luaran?
Sebelum mendapat jawapan tentang erti kebahagiaan yang sebenar, mesti dipastikan sumber kebahagiaan itu. Ia datang dari mana? Apakah bahagia itu datang dari luar ke dalam (outside-in) atau dari dalam ke luar (inside-out)?
Ramai yang merasakan bahawa bahagia itu bersumber dari faktor luaran. Ia bersumber daripada harta, kuasa, rupa, nama dan kelulusan yang dimiliki oleh seseorang. Golongan ini merasakan jika berjaya menjadi hartawan, negarawan, bangsawan, rupawan, kenamaan dan cendekiawan maka secara automatik bahagialah mereka.
Atas keyakinan itu ramai yang berhempas pulas dan sanggup melakukan apa sahaja untuk memiliki harta, kuasa dan lain-lain lagi. Kita tidak bahaskan mereka yang miskin, hodoh, tidak popular dan bodoh, lalu gagal merasakan bahagia tetapi mari kita tinjau apakah hidup para hartawan, rupawan, bangsawan, kenamaan dan cendekiawan itu bahagia?
 Realiti hidup jutawan, rupawan dan selebriti.
Realitinya, sudah menjadi “rules of life” (sunatullah), manusia tidak mendapat semua yang diingininya. Tidak ada seorang manusia pun yang dapat mengelakkan diri daripada sesuatu yang tidak disenanginya. Hidup adalah satu ujian yang menimpa semua manusia, tidak kira kedudukan, harta dan pangkatnya. Firman Allah:
“Dijadikan mati dan hidup adalah untuk menguji manusia siapakah yang terbaik amalannya.” Al Mulk.
Si kaya mungkin memiliki harta yang berjuta, tetapi mana mungkin dia mengelakkan diri daripada sakit, tua dan mati? Inilah yang berlaku kepada Cristina Onasis pewaris kekayaan ayahnya Aristotle Onasis, yang mati pada usia yang masih muda walaupun memiliki harta yang berbilion dollar. Mereka yang rupawan, tidak boleh mengelakkan diri daripada cercaan. Madonna, Paris Hilton (sekadar menyebut berapa nama) pernah dikutuk akibat kelakuan buruk masing-masing. Lady Diana yang memiliki semua pakej kelebihan wanita idaman akhirnya mati dalam keadaan yang tragis dan menyedihkan sekali.
John Lenon tidak dapat mengelakkan diri daripada dibunuh walaupun dirinya dipuja oleh jutaan peminat. Elizabeth Taylor pula sedang membilang usia yang kian meragut kecantikan dan potongan badannya. Itu belum dikira lagi nasib malang yang menimpa negarawan dan bangsawan tersohor seperti Al Malik Farouk (Masir), Shah Iran (Iran), Ferdinand Marcos (Filipina), Louis XVI (Perancis), Tsar (Rusia) dan lain-lain lagi. Tegasnya, kesakitan, cercaan, dijatuhkan dan lain-lain ujian hidup telah menumpaskan ramai hartawan, rupawan, negarawan dan cendekiawan dalam perlumbaan mencari kebahagiaan.
• Bukti hilangnya bahagia.
Apa buktinya, mereka hilang bahagia? Tidak payah kita berhujah menggunakan Al Quran dan Al Hadis, melalui paparan media massa sahaja sudah cukup menjadi bukti betapa tidak bahagianya mereka yang memiliki segala-galanya itu. Aneh, apabila selebriti dari Hollywood, yakni mereka yang memiliki rupa yang cantik, harta yang berbilion dolar, nama yang tersohor tetapi dilanda pelbagai masalah kronik. Senarai nama yang berkenaan cukup panjang …
Mereka yang terlibat dengan arak, rumah tangga cerai berai, dadah, jenayah, sakit jiwa dan bunuh diri ini sudah tentu tidak bahagia. Jika mereka bahagia dengan nama, harta dan rupa yang dimiliki tentulah mereka tidak akan terlibat dengan semua kekacauan jiwa dan kecelaruan peribadi itu. Tentu ada sesuatu yang “hilang” di tengah lambakan harta, rupa yang cantik dan nama yang popular itu.
• Ujian hidup punca hilang bahagia?
Mari kita lihat persoalan ini lebih dekat. Apakah benar ujian hidup menghilangkan rasa bahagia dalam kehidupan ini? Apakah sakit, usia tua, cercaan manusia, kemiskinan, kegagalan, kekalahan dan lain-lain ujian hidup menjadi sebab hilangnya bahagia? Jawabnya, tidak!
Jika kita beranggapan bahawa ujian hidup itu penyebab hilangnya bahagia maka kita sudah termasuk dalam golongan pesimis yang beranggapan tidak ada kebahagiaan di dunia. Mengapa begitu? Kerana hakikatnya hidup adalah untuk diuji. Itu adalah peraturan hidup yang tidak boleh dielakkan. Sekiranya benar itu penyebab hilangnya bahagia, maka tidak ada seorang pun manusia yang akan bahagia kerana semua manusia pasti diuji.
Atas dasar itu, ujian hidup bukan penyebab hilangnya bahagia. Sebagai perumpamaannya, jika air limau nipis diletakkan di atas tangan yang biasa, maka kita tidak akan berasa apa-apa. Sebaliknya, jika air limau itu dititiskan di atas tangan yang luka maka pedihnya akan terasa. Jadi apakah yang menyebabkan rasa pedih itu? Air limau itu kah atau tangan yang luka itu? Tentu jawapannya, luka di tangan itu.
• Metafora air limau dan luka di tangan
Air limau itu adalah umpama ujian hidup, manakala tangan yang luka itu ialah hati yang sakit. Hati yang sakit ialah hati yang dipenuhi oleh sifat-sifat mazmumah seperti takbur, hasad dengki, marah, kecewa, putus asa, dendam, takut, cinta dunia, gila puji, tamak dan lain-lain lagi. Ujian hidup yang menimpa diri hakikatnya menimbulkan sahaja sifat mazmumah yang sedia bersarang di dalam hati. Bila diuji dengan cercaan manusia, timbullah rasa kecewa, marah atau dendam. Bila diuji dengan harta, muncullah sifat tamak, gila puji dan takbur.
Justeru, miskin, cercaan manusia dan lain-lain itu bukanlah penyebab hilang bahagia tetapi rasa kecewa, marah dan tidak sabar itulah yang menyebabkannya. Pendek kata, ujian hidup hakikatnya hanya menyerlahkan sahaja realiti hati yang sudah tidak bahagia lama sebelum ia menimpa seseorang.
Dengan segala hujah di atas terbuktilah bahawa pendapat yang mengatakan bahagia itu datang dari luar ke dalam adalah tertolak sama sekali. Ini kerana faktor “kesihatan” hati jelas lebih dominan dalam menentukan bahagia atau tidaknya seseorang berbanding segala faktor luaran. Ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa kebahagiaan itu datang dari dalam ke luar – soal hati.
• Inilah erti bahagia
Secara mudah kebahagiaan itu ialah memiliki hati yang tenang dalam menghadapi apa jua ujian dalam kehidupan. Inilah erti bahagia yang sebenar selaras petunjuk Allah di dalam Al Quran. Firman Allah:
“Ketahuilah dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang.” Al Ra’du 28.
Rasulullah S.A.W. juga telah bersabda:
” Bahawasanya di dalam tubuh badan manusia ada seketul daging. Apabila ia baik, baik pulalah seluruh badan, tetapi apabila ia rosak maka rosak pulalah seluruh badan. Ingatlah ia adalah hati. ” (riwayat Bukhari Muslim)
Rasulullah S.A.W bersabda lagi:
” Bukanlah kekayaan itu dengan banyaknya harta benda tetapi kekayaan itu sebenarnya ialah kaya hati “
Kaya hati bermaksud hati yang tenang, lapang dan merasa cukup dengan apa yang dimiliki – bersyukur dengan apa yang ada, sabar dengan apa yang tiada.
Oleh itu hati perlu dibersihkan serta dipulihara dan dipelihara “kesihatannya” agar lahir sifat-sifat mazmumah seperti amanah, sabar, syukur, qanaah, reda, pemaaf dan sebagainya. Kemuncak kebahagiaan ialah apabila hati seseorang mampu mendorong pemiliknya melakukan kebaikan dan menghindari kejahatan dan larangan yang ditentukan oleh Islam dengan mudah dan secara “auto pilot”.
KAEDAH MENCARI BAHAGIA MENURUT AL QURAN DAN AS SUNAH:
1. Beriman dan beramal salih.
“Siapa yang beramal salih baik laki-laki ataupun perempuan dalam keadaan ia beriman, maka Kami akan memberikan kepadanya kehidupan yang baik dan Kami akan membalas mereka dengan pahala yang lebih baik daripada apa yang mereka amalkan.” (An-Nahl: 97)
Ibnu ‘Abbas RA meriwayatkan bahawa sekelompok ulama mentafsirkan bahawa kehidupan yang baik (dalam ayat ini) ialah rezeki yang halal dan baik (halalan tayyiban). Sayidina Ali pula mentafsirkannya dengan sifat qana’ah (merasa cukup). Ali bin Abi Thalhah dari Ibnu ‘Abbas, meriwayatkan bahawa kehidupan yang baik itu adalah kebahagiaan.
2. Banyak mengingat Allah .
Dengan berzikir kita akan mendapat kelapangan dan ketenangan sekali gus bebas daripada rasa gelisah dan gundah gulana. Firman Allah:
“Ketahuilah dengan mengingat (berzikir) kepada Allah akan tenang hati itu.” 

(Ar-Ra’d: 28)
3. Bersandar kepada Allah.
Dengan cara ini seorang hamba akan memiliki kekuatan jiwa dan tidak mudah putus asa dan kecewa. Allah berfirman:
“Siapa yang bertawakal kepada Allah maka Allah akan mencukupinya.” (Ath-Thalaq: 3)
4. Sentiasa mencari peluang berbuat baik.
Berbuat baik kepada makhluk dalam bentuk ucapan mahupun perbuatan dengan ikhlas dan mengharapkan pahala daripada Allah akan memberi ketenangan hati.
Firman-Nya:
“Tidak ada kebaikan dalam kebanyakan bisikan-bisikan mereka kecuali bisikan-bisikan dari orang yang menyuruh ( manusia) untuk bersedekah atau berbuat kebaikan dan ketaatan atau memperbaiki hubungan di antara manusia. Barang siapa melakukan hal itu karena mengharapkan keredaan Allah, nescaya kelak Kami akan berikan padanya pahala yang besar.” (An-Nisa: 114)
5. Tidak panjang angan-angan tentang masa depan dan tidak meratapi masa silam.
Fikir tetapi jangan khuatir. Jangan banyak berangan-angan terhadap masa depan yang belum pasti. Ini akan menimbulkan rasa gelisah oleh kesukaran yang belum tentu datang. Juga tidak terus meratapi kegagalan dan kepahitan masa lalu karena apa yang telah berlalu tidak mungkin dapat dikembalikan semula. Rasulullah SAW bersabda: “Bersemangatlah untuk memperoleh apa yang bermanfaat bagi mu dan minta tolonglah kepada Allah dan janganlah lemah. Bila menimpa mu sesuatu (dari perkara yang tidak disukai) janganlah engkau berkata: “Seandainya aku melakukan ini nescaya akan begini dan begitu,” akan tetapi katakanlah: “Allah telah menetapkan dan apa yang Dia inginkan Dia akan lakukan,” karena sesungguhnya kalimat ‘seandainya’ itu membuka amalan syaitan.” (HR. Muslim)
6. Melihat “kelebihan” bukan kekurangan diri.
Lihatlah orang yang di bawah dari segi kehidupan dunia, misalnya dalam kurniaan rezeki karena dengan begitu kita tidak akan meremehkan nikmat Allah yang diberikan Allah kepada kita. Rasulullah SAW bersabda:
“Lihatlah orang yang di bawah kamu dan jangan melihat orang yang di atas kamu karena dengan (melihat ke bawah) lebih pantas untuk kamu tidak meremehkan nikmat Allah yang dilimpahkan-Nya kepada kamu.” (HR. Al-Bukhari dan Muslim)

7. Jangan mengharapkan ucapan terima kasih manusia.

Ketika melakukan sesuatu kebaikan, jangan mengharapkan ucapan terima kasih ataupun balasan manusia. Berharaplah hanya kepada Allah. Kata bijak pandai, jangan mengharapkan ucapan terima kasih kerana umumnya manusia tidak pandai berterima kasih. Malah ada di antara hukama berkata, “sekiranya kita mengharapkan ucapan terima kasih daripada manusia nescaya kita akan menjadi orang yang sakit jiwa!”. Firman Allah:
“Kami memberi makan kepada kalian hanyalah karena mengharap wajah Allah, kami tidak menginginkan dari kalian balasan dan tidak pula ucapan terima kasih.” 

(Al Insan: 9)
ZIKRULLAH YANG MEMBAWA BAHAGIA
Ketenangan itu dicapai melalui zikrullah. Zikrullah akan memberi ketenangan buat hati. Ketenangan hati itulah kebahagiaan sebenar. Tetapi kenapa ada orang yang berzikir tetapi hati tidak ataupun belum tenang? 
Hati adalah sumber dari segala-galanya dalam hidup kita, agar kehidupan kita baik dan benar, maka kita perlu menjaga kebersihan hati kita. Jangan sampai hati kita kotori dengan hal-hal yang dapat merosak kehidupan kita apalagi sampai merosak kebahagiaan hidup kita di dunia ini dan di akhirat nanti.
Ingatlah, untuk menjaga kebersihan hati, (selalin berzikir) kita perlu menjaga penglihatan, pendengaran, fikiran, ucapan kita dari hal-hal yang dilarang oleh Allah SWT. Dengan menjaga hal-hal tersebut kita dapat menjaga kebersihan hati kita. Dengan hati yang bersih kita gapai kebahagiaan dunia dan akhirat.  Jadi berhati-hatilah menjaga hati kerana ia adalah punca ketenangan dan kebahagiaan diri!
Kita harus melatih hati kita supaya sentiasa berniat baik dan inginkan sesuatu yang baik. Sentiasa riang, gembira dan tenang dengan setiap pekerjaan yang dilakukan. Sentiasa melakukan kerja amal, tolong menolong, bergotong royong, sentiasa bercakap benar, sopan dan hidup dengan berkasih sayang antara satu dengan lain.
Marilah kita bersihkan hati kita dari segala kotorannya dengan memperbanyak mendekatkan diri kepada Allah SWT dan memperbanyak doa agar Allah SWT mengurniakan kita hati yang bersih dan selalu dekat dengan-Nya. Itulah beberapa hal yang mungkin dapat kita jadikan landasan untuk mencari kebahagiaan hidup di dunia ini dan juga sebagai bekal untuk menghadapi kehidupan akhirat nanti.
Sebenarnya kebahagiaan hidup yang hakiki dan ketenangan hanya didapatkan dalam agama Islam yang mulia ini. Sehingga yang dapat hidup bahagia dalam erti yang sebenarnya hanyalah orang-orang yang berpegang teguh dengan agama.

Friday, December 9, 2011

Anugerah Hati

Di dalam diri manusia ada segumpal darah yang sangat berpotensi menentukan jati diri manusia itu sendiri.

Jika ia jernih, ia akan memandu lisan untuk berucap dengan butiran kata-kata yang lembut.

Jika ia keruh, ia akan memaksa lisan untuk mengeluarkan kata-kata terburuk yang dia miliki.

Itulah dia ‘Al Qalb’ (hati).


Ini sebagaimana sabda Nabi saw :

"Ketahuilah sesungguhnya di dalam tubuh manusia ada segumpal darah, apabila dia baik maka baiklah seluruh tubuhnya, dan apabila dia rusak, maka rusaklah seluruh tubuhnya. Ketahuilah bahwa segumpal darah itu ialah hati." (Muttafaqun `Alaih)

Hati adalah anugerah yang sangat besar bagi manusia. Dengannya manusia dapat :

a.       Menyingkap kebesaran Ilahi.
b.      MengenalNya.
c.       Berkomunikasi denganNya.
d.      Mengetahui dengan sebenarnya akan hakikat kehidupan di dunia dan di akhirat nanti.

Dengan hatilah manusia dapat bermesra dengan Rabbnya, walaupun :

1.      Kedua mata tidak sanggup untuk melihatNya.
2.      Telinga tidak kuasa untuk mendengar bisikanNya.
3.      Akal tidak berdaya untuk meraih wujud kebesaranNya.

Di dalam hati inilah pusat kebahagiaan seseorang di samping pula boleh menjadi sumber kesengsaraan seseorang.

HATI SEPERTI SUIS PENGAWAL

Hati merupakan suis pengawal seseorang.

Hati adalah pangkal kehidupan di mana :
a.       Tamak, rakus dan keserakahan muncul dari kedalaman hati.
b.      Qanaah, syukur dan merasa cukup atas rezeki yang diberikan oleh Allah adalah juga bersumber dari hati.

Bahagia atau sedih, serakah atau qanaah, santun atau kasar, kaya atau miskin, mulia atau hina, dan takabbur atau tawadhu’ bukan bergantung kepada material dan bentuk fizikal semata-mata namun sangat bergantung kepada seberapa baiknya rawatan dan pengurusan hati seseorang.

Oleh kerana itu, hati mampu menyelamatkan dan juga dapat mencelakakan.

Hati yang kotor akan melahirkan perilaku kotor. Hati yang suci akan membimbing kepada perilaku soleh.
Firman Allah swt :

“Maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketaqwaan, sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu, dan sesungguhnya merugilah orang yang mengotorinya.” (QS As Syams : 8 -10)

Dalam hati manusia terdapat dua jenis "benih penentu" iaitu :

1.      "Benih kebaikan" yang merangsang dan mendorong manusia untuk melakukan amal kebaikan atau perbuatan yang mendekatkan dirinya kepada Allah swt.
2.      "Benih kejahatan" yang merangsang manusia untuk melakukan perbuatan ‘fahsya’’ (keji) atau kemungkaran kepada Allah swt.

‘Al-Fujur’ merupakan "benih kejahatan" yang dengan istilah lainnya dikenali sebagai ‘nafsu syahwat syaithaniyah’yang sentiasa membisik dan menghembuskan kepada manusia untuk melakukan pekerjaan-pekerjaan tercela lagi berdosa yang akan menghantarkannya ke jalan kefasikan dan berakhir di neraka. 

Manakala ‘At-Taqwa’ merupakan "benih kebaikan" yang sentiasa memberi motivasi dan mampu memobilisasi manusia untuk melakukan amal kebajikan dan pekerjaan yang mendekatkan dirinya kepada Allah swt.

Dari sini kita dapat mengetahui bahwa pada hati manusia terdapat dua kekuatan iaitu kekuatan :

a.      "Fujur".
b.      "Taqwa".

Dua kekuatan ini sentiasa bertempur dan saling mengalahkan antara satu dengan yang lainnya sehingga salah satu dari keduanya menjadi pemenang atau lebih mempunyai pengaruh dalam menentukan perilaku kehidupan"tuannya"

Apabila setiap rangsangan "benih kebaikan (At-Taqwa)" ini yang timbul dalam diri manusia yang selalunya direalisasikan dalam bentuk amal soleh secara benar dan berterusan maka dengan sendirinya "benih kebaikan"akan semakin berkembang dan akan mendominasi atau menguasai hati "tuannya" sehingga idea, pola berfikir, keperibadian dan seluruh anggota tubuhnya akan menjadi baik kerana mengikuti arahan-arahan yang datang dari hati yang dipenuhi dengan "benih kebaikan" tersebut.

Maka jadilah "tuannya" ini termasuk orang-orang beruntung yang mampu membersihkan jiwanya dari ‘nafsu syahwat syaithaniyah’ kerana ia hanya mahu melayan bisikan dan panggilan kebaikan (taqwa) sahaja.

Sebaliknya bagi manusia yang sering melayan tuntutan ‘nafsu syahwat syaithaniyah’nya, maka tindakan tercela lagi berdosa itu dengan secara automatik memberikan sumbangan dan mempercepatkan pertumbuhan serta perluasan"benih-benih kejahatan (fujur)" sehingga benih ini akan mendominasi hatinya. 

Rasulullah saw bersabda :

“Sesungguhnya orang mukmin, ketika ia berbuat dosa maka (saat itu juga) akan menempel titik hitam di hatinya, jika ia bertaubat dan mencabut (dirinya dari perbuatan dosa tersebut) dan memohon ampunan maka hatinya (kembali) bersih, jika ia menambahinya (dengan perbuatan dosa lagi) maka titik hitam itu bertambah pula di dalam hatinya.”

 Titik-titik hitam itulah yang dinamakan "Ran" yang disebutkan dalam firman Allah swt :

"(Sekali-kali tidak (demikian), sebenarnya apa yang selalu mereka usahakan itu menutup hati mereka)." 

Pada ketika hati manusia dikuasai oleh "benih-benih kejahatan (fujur)" maka idea, pola berfikir, keperibadian dan seluruh anggota tubuhnya akan menjadi buruk kerana mengikuti arahan-arahan yang datang dari hati yang dipenuhi dengan "benih kejahatan" sehingga jadilah ia termasuk orang-orang yang merugi kerana ia telah mengotori dan mencemari jiwanya dengan selalu menuruti ‘nafsu syahwat syaithaniyah’.

HATI MENJADI SAKSI

Pada hari perhitungan amal, hati akan menjadi saksi di hadapan Allah swt.

Dia akan mengatakan dengan sebenarnya perbuatan yang selama ini kita lakukan.

Dia dapat menyelamatkan dari azab Allah dan juga boleh mencelakakan seseorang ke dalam neraka Jahim.

Hati yang terawat dengan baik akan sentiasa mengawal dan mengarahkan anggota tubuh badan yang lain untuk gemar beramal soleh.

Hati yang kusut masai, menjadi sumber malapetaka bagi pemiliknya.

Hati seorang hamba yang bening dan jernihlah yang nanti akan menempati syurga Allah swt yang penuh kenikmatan.

Hati seorang hamba yang keruh dan kotor akan mendiami neraka Allah swt yang penuh dengan azab yang pedih.

HATI UMPAMA CERMIN

Sering kita mendengar bahwa hati diumpamakan seperti cermin.

Kita mesti rajin dan tekun untuk membersihkannya agar ia tetap bersih, jernih dan terang.

Hanya dengan kejernihan hati, kebahagiaan dunia dan akhirat dapat diraih.

Orang yang lalai membersihkannya dari noda-noda hitam, dia akan menemui kerunsingan dan kerisauan hidup di dunia dan di akhirat.

Ingatlah, bahwa hati merupakan amanah yang dipikulkan di atas bahu kita yang mesti dijaga dan dirawat dengan sebaik-baiknya.

Kita tidak akan mampu mengurus dan merawat hati dengan baik kecuali ketika kita mendapatkan pertolongan dari Allah swt.

Allahlah akan membuka pintu rahmatNya bagi hamba yang tekun memohon agar hatinya tetap jernih.
Jika kita perhatikan, puncak prestasi dan kejayaan hidup selalunya akan diraih oleh orang-orang yang berhati bersih dan jernih.

Memang kejayaan dan kemuliaan hanya milik hamba yang berhati jernih.

Betapa indahnya hidup yang berpijak kepada kejernihan hati di mana ketenteraman, kedamaian, kesejateraan, kebahagiaan dan kelapangan akan menghiasi kehidupan menuju keridhaan Ilahi.

Betapa bahagianya orang yang memiliki hati yang terurus dan terpelihara dengan sebaik-baiknya bagaikan taman bunga yang indah di mana pemiliknya mampu merawatnya dengan penuh kesabaran.

Untuk mendapatkan keindahan apapun yang dia lakukan :

1.      Seni penanamannya mestilah terurus dengan rapi.
2.      Tatacara letak dan corak warna bunga mampu dikombinasikan secara elok.
3.      Dipilihnya jenis dan warna bunga yang memiliki warna terindah dan menebarkan bau harum ke segala penjuru taman.
4.      Rumput liar perlu dicabut, ranting-ranting kering dipatahkan, hama dan penyakit dimusnahkan dan tidak lupa pula disiraminya tanaman itu setiap hari.

Dengan usaha-usaha tersebut :

a.       Tanah akan menjadi gembur.
b.      Bunga-bunga tumbuh dengan suburnya.
c.       Daun-daunnya kelihatan menghijau.
d.      Terlihat sungguh indah pemandangannya.

Setiap kali orang melalui taman tersebut, akan berhenti untuk menikmati keindahannya.

Begitulah juga dengan hati yang pemiliknya rajin merawatnya, sikap dan perilakunya akan terserlah indah.
Orang yang berhasil mengurus dan merawat hatinya dengan baik, bererti :

1.      Dia telah berhasil menemui jalan menuju kebaikan.
2.      Dia memiliki kegigihan dan keteguhan hidup yang tidak dapat digoyahkan oleh rayuan apapun.

Dengan usaha-usaha pengurusan dan rawatan hati yang baiklah di mana :

a.       Gemerlapan perhiasan dunia tidak menjadikan dia surut untuk beribadah.
b.      Gelaran dan jawatan tidak menyebabkan dia bersikap angkuh dan sombong serta berbuat sewenang-wenang terhadap orang bawahannya.
c.       Kakinya ringan untuk melangkah menuju kebajikan dan berat melangkah menuju kemaksiatan.
d.      Dua matanya terfokus kepada kebesaran dan keagungan Allah swt dan  terpejam dari pandangan yang menyeronokkan nafsu.
e.       Tangannya ringan untuk menyedekahkan sebahagian harta yang dikurniakan kepadanya.
f.       Dititinya tahap-tahap kebajikan untuk mengais rahmat Allah swt.
g.      Hatinya sentiasa terpikat dan memendam rasa rindu ingin bertemu Allah swt.
h.      Kecintaan dan kerinduan kepadaNya mengundang dirinya untuk rajin beramal soleh.
i.        Ibadah dilakukan dengan khusyu’.
j.        Hatinya bergetar di kala mendengar asma’ Allah yang dilantunkan.
k.      Dia akan berusaha bermati-matian untuk menepis riya’, dengki, ujub, takabbur dan sifat-sifat tercela lainnya yang bersarang di dalam hatinya.

Sungguh beruntunglah orang yang memiliki hati yang bersih.

HATI PENENTU AMALAN DITERIMA

Sesungguhnya amalan lahiriyah yang dilakukan oleh lisan dan anggota tubuh lainnya tidak akan diterima oleh Allah swt selagimana tidak disertai dengan amalan hati (niat) yang merupakan asas bagi diterimanya suatu amal lahiriah. 

Sabda Rasulullah saw : 

"Sesungguhnya setiap amalan mesti disertai dengan niat." (Muttafaqun `Alaih)

Oleh kerana itu, suatu amal atau pekerjaan atau aktiviti (apapun bentuknya) sangat bergantung dan terkait dengan niatnya.

Suatu amal tanpa disertai dengan suatu niat yang benar adalah seumpama badan tanpa ruh atau seperti pohon tanpa buah yang tidak berfungsi dan tidak menguntungkan sedikitpun.

Hatilah yang akan dinilai oleh Allah swt kerana bila bersih niatnya, maka Allah swt akan menerima amalannya dan apabila kotor hatinya (niatnya tidak benar atau berbau syirik atau tidak ikhlas), maka dengan sendirinya amal tersebut akan ditolak.

Sabda Rasulullah saw :

"Sesungguhnya Allah swt tidak melihat kepada bentuk tubuh dan rupamu, tetapi Dia melihat kepada hatimu sambil baginda mengarahkan jari-jarinya ke dadanya." (HR Muslim)

Oleh yang demikian, sesuatu yang paling berharga, paling bernilai dan paling mulia pada diri manusia adalah HATInya sedangkan anggota tubuh badannya hanya sekadar mengikuti dan menjadi pelayan kepada hati sebagaimana seorang tuan yang memerintahkan hamba sahayanya sebagai pelayannya.

Ya Allah, jadikanlah hati kami hati yang ‘Salim’ (sejahtera) kerana hanya hati jenis inilah yang akan menjadi aset dan bekalan utama manusia di akhirat nanti ketika tidak bergunanya harta benda dan anak-anak apabila bertemu denganMu nanti.
Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS