Tuesday, November 29, 2011

Acuan Bernama Islam

Nama agama yang diturunkan kepada Nabi Muhammad tidak ada perkaitan dengan sebarang individu ataupun kelompok manusia.  Hal ini berbeza dengan agama lain.  Sebagai contoh agama Kristian yang dinamakan bersempena dengan nama Jesus Christ, agama Budha bersempena nama pengasasnya Sidharta Gautama Buddha, Confucianisme dinamakan bersempena nama Confucious dan Judaisme dinamakan berasaskan nama kelompok kaum Judah.


Islam adalah Kesejahteraan
Islam berasal daripada perkataan Arab 'salima' yang bermaksud kesejahteraan.  Kesejahteraan ini lahir kerana pada dasarnya Islam diturunkan sesuai dengan fitrah dan sifat semula jadi manusia.  Kenyataan Allah di dalam Al-Quran yang bermaksud,
"Hadapkannlah wajah kamu dengan lurus kepada agama Allah, (tetaplah di atas) fitrah Allah yang menciptakan manusia menurut fitrah itu."  (Surah ar-Rum ayat 30)
Ajaran Islam memang sesuai denga fitrah manusia.  Ia menggalakkan perkahwinan, mengizinkan manusia menikamat keseronokn dunia, menekankan aspek jiwa dan ketenangan hati. mementingkan keharmonian keluarga, mengizinkan hiburan yang tidak melekakan, menggalakkan kajian dan penyelidikan dan membicarakan berkenaan akal, roh dan jasad.  Tidakkah kesemua ini diperlukan oleh manusia?  Konsep kesejahteraan yang dibawa Islam adalah yang berbentuk komprehensif.  Justeru Islam adalah agama yang diperlukan oleh manusia dan setiap insan mempunyai persiapan menerima Islam sebagai agamanya demi mencapai kesejahteraan dunia serta akhirat.  Semasa mentafsirkan perkataan 'fitrh Allah' dalam ayat 30 surah ar-Rum, Imam Qartubi di dalam al-Jamik Li ah-kamil Quran memandang baik pandangan ulama yang mengatakan setiap bayi dilahirkan dengan persediaan mengenali Tuhannya (Allah) serta syariat yang diturunkan olehnya.


Membenci Sikap Melampau
Kesejahteraan Islam tertonjol kerana ia membenci sebarang perbuatan yang melampau serta berlebih-lebihan.  Sebagai contoh, mereka yang memberikan tumpuan hanya kepada aspek akhirat dan mengabaikan dunia dianggap sebagai golongan melampau.  Demikian juga mereka yang asyik dengan dunia sehingga mengabaikan akhirat.  Jalan yang dipilih oleh Islam adalah sederhana lagi seimbang.  Nabi Muhammad berkata; 
Binasalah mereka yang melampau, binasalah mereka yang melampau, binasalah mereka yang melampau." (Hadis yang diriwayatkan oleh Muslim)
Dalam hadis yang lain, Muhammad berpesan,  "Jauhilah perbuatan yang melampau dalam agama.  Sesungguhnya hancur orang-orang sebelummu kerana perbuatan melampau yang mereka lakukan dalam agama." (hadis sahih mengikut syarat Muslim.)


Menghalalkan yang Baik, Mengharamkan yang Keji
Di samping itu, Islam menjamin kesejahteraan kerana ia menghalalkan perkara yang baik dan mengharamkan segala yang keji.  Arak dan judi, sebagai contoh, diharamkan oleh Islam kerana ia merosakkan individu, keluarga serta masyarakat.  Demikian juga dengan pergaulan bebas.  Jalan alternatif yang dianjurkan Islam adalah meminum minuman berkhasiat, menjalankan perniagaan yang sihat serta melangsungkan perkahwinan.  Allah menegaskan
"Dan menghalalkan bagi mereka segala yang baik (at-tyyibat) dan mengharamkan bagi mereka segala yang keji (al-khabaith)" (surah al-A'raf, ayat 157)
Rasulullah juga menekankan perkara yang sama apabila melarang segala perbuatan yang memudaratkan melalui katanya.
"Tidak dapat melakukan kemudaratan dan tidak dapat membalas dengan kemudaratan." (Hadis riwayat Malik, al-Hakim, Baihaqi dan ibnu Majah)


Peraturan yang Mudah
Ajaran Islam mengandungi peraturan yang mementingkan urussan manusia sekali gus menjamin kesejahteraan hidup insan.  Sebagai contoh, Islam mengharamkan riba supaya manusia terpelihara daripada penindasan ekonomi.  Islam mengharamkan zina supaya keturuan dan sistem sosial manusia sentiasa bersih lagi bertamadun.  Allah menerangkan,
"Dan kami turunkan daripada Quran, sesuatu yang merupakan penawar dan rahmat bagi seluruh manusia."  (Surah al-Israk ayat 82)


Peraturan Islam tidak diturunkan bagi menyusahkan manusia sebaliknya berfungsi mengelokkan kehidupan mereka.  Justeru, pada saat kecemasan sesuatu yang diharamkan akan diharuskan bertujuan menghindari kemudaratan yang lebih teruk.  Demikian juga dalam aspek ibadah, seseorang disuruh melakukannya mengikut kemampuan diri dan pada saat tertentu.  Sebagai contoh dalam keadaan sakit, beberapa kelonggaran diberikan oleh agama Islam.  Apabila sesorang tidak mampu melaksanakan solat sambil berdiri, dia diizinkan duduk ataupun berbaring.  Allah menyatakan, 
"Allah tidak turunkan Quran ini kepada kamu supaya kamu menjadi susah tetapi sebagai peringatan bagi orang yang takut (kepada Allah)."  (Surah Taha ayat 2-3)
Dalam kenyataannya yang lain, Allah menegaskan;
"Allah tidak berkehendak bagi menyulitkan kamu, sebaliknya dia berkehendak bagi membersihkan kamu serta menyempurnakan nikmatnya ke atas kamu, semoga kamu bersyukur." (Surah al-Maidah ayat 6)


Islam adalah agama yang sejahtera kerana tanggungjawab yang dibebankan ke atas penganut-penganutnya adalah mengikut kemampuan yang ada pada mereka.  Tanggungjawab seorang yang cacat tidak sama dengan mereka yang sihat.  Peranan seseorang yang baru memeluk Islam tidak sama dengan mereka yang sudah lama dalam Islam.  Allah menyatakan,
"Allah tidak membebankan seseorang melainkan sesuai dengan kemampuannya." (Surah al-Baqarah ayat 286)


Mementingkan Keluarga Bahagia
Di sudut kekeluargaan, Islam mengutarakan formula kesejahteraan melalui konsep pembinaan keluarga berasaskan nilai-nilai murni.  Suami bertanggungjawab membimbing isteri dan anak-anak supaya mereka memahami dan menghayati nilai-nilai agama.  Allah menerangkan, "Wahai mereka yang beriman, peliharalah diri dan keluarga kamu daripada api neraka." (Surah al-Tahrim ayat 6)


Berhubung dengan pendidikan anak-anak, Nabi Muhammad mementingkan pendidikan yang barasaskan akhlak dan adab mulia.  Demi mencapai matlamat ini, seseorang ayah perlu menunjukkan contoh yang baik kepada anak-anaknya.  Nabi Muhammad berkata, "Tidak ada pemberian yang diberikan oleh seorang ayah kepada anaknya yang lebih utama daripada adab yang mulia." (hadis yang dilaporkan oleh Tirmizi)
Konsep Persamaan antara Manusia
Dari sudut kemasyarakatan, kesejahteraan manusia terpelihara kerana Islam mementingkan pembinaan masyarakat yang beradab, bertamadun, progresif dan aman.  Konsep kasta dan aparteid tidak pernah wujud dalam Islam.  Malah Islam tidak pernah membezakan manusia berdasrkan bangs, bahsa warna kulit, keturunan dan kebansawanan.  Allah menegaskan di dalam Quran, "Wahai manusia, sesungguhnya kami ciptakan kamu daripada seorang lelaki dan wanita dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenali.  Sesungguhnya orang yang paling mulia daripada kalangan kamu adalah dia yang paling bertakwa di sisi Allah." (Surah al-Hujurat ayat 13)


Pembinaan masyarakat yang sejahtera mempunyai landasan danformulany.  Justeru itu, erbuatan mengumpat, mnecaci, mengutu, memaki hamun, mencerca, menghina dan seumpamanya diharamkan oleh Islam kerana perbuatan-perbuatan ini memporak-perandakan masyarakat.  Allah menyatakan, "Wahai mereka yang beriman, jauhi daripada kebanyakan prasangka, sesungguhnya sebahagian prasangka itu adalah dosa.  Janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain dan janganlah kamu mengumpat antara satu sama lain." (Surah al-Hujurat ayat 12)




Keadilan bagi Semua
Islam juga memelihara kesejahteraan mereka yang bukan Islam terutamanya golongan kafir zimmi iaitu golongan orang bukan Islam yang berdamai dengan umat Islam.  Umat Islam dianggap berdosa apabila mereka menyakiti golongan ini.  Berhubung dengan ini, Nabi Muhammad berkata, "Sesiapa yang menyakiti seorang kafir zimmi aku pasti menentang dan jika aku menentang seseorang aku pasti menentang hingga ke Hari Kiamat." (hadis yang dilaporkan oleh al-Khatib dengan sanad yang baik)


Muhammad juga menegaskan dalam hadis yang lain, "Sesiapa yang meyakiti seorang kafir zimmi dia menyakiti aku dan sesiapa yang menyakiti aku dia menyakiti  Allah." (hadis yang dilaporkan oleh Tabrani dengan sanad baik).


Kesejahteraan bagi Haiwan
Di samping manusia, kesejahteraan makhluk Allah yang lain seperti haiwan juga terjamin kerana Islam mengajar umatnya supaya tidak menzalimi haiwan.  Dalam sebuah hadis, Nabi Muhammad menceritakan mengenai seroang lelaki yang mencedok air dari sebuah perigi bagi memberi minum seekor anjing yang kehausan.  Nabi Muhammad kemudiannya menjelaskan, Allah merestui perbuatan lelaki itu dan mengampuni dosa-dosanya.  Selepas mendengar kata Nabi Muhammad ini, para sahabat bertanay kepada nabi, "Adakah kita diberi pahala kerana membantu haiwan?" Nabi menjawab,
"Bagi setiap sesuatu yang hidup (yang ditolong), ada ganjarannya (bagi kamu)." (hadis yang diaporkan oleh Bukhari dan Muslim)


Dalam Tabayat Ibn Saad terdapat sebuah kisah mengenai seorang hamba Allah yang memuatkan muatan yang berat di atas untanya.  Apabila khalifah Umar Khattab melihat insiden ini, beliau terus memarahi dan menegus lelaki yang berkenaan dengan perkataan, "Mengapa kamu bebani unta kamu dengan sesuatu yang di luar kemampuannya?"


Kesejahteraan Alam Sekitar
Kesejahteraan alam sekitar juga dipandang penting oleh Islam.  Menjaga kebersihan alam sekitar dan sumber air bersih amat ditekankan oleh Islam.  Islam juga menggalakkan penanaman pohon-pohon yang menghijau.  Nabi berkata,
"Tidaklah seorang Muslim menanam suatu tanaman atau tumbuh-tumbuhan, kemudian hasil tanaman itu dimakan oleh manusia, binatang dan yang lain-lainnya, melainkan kesemua itu adalah sedekah (kebaikan) baginya." (hadis yang dilaporkan oleh Muslim)


Berhubung dengan kepentingan menjaga kebersihan sumber air bagi manusia, nabi berkata, "Janganlah salah seorang di antara kamu membuang air kecil di dalam air yang tenang dan jangan kamu mandi wajib di dalamnya." (hadis yang dilaporkan oleh Ahmad dan Abu Daud)


Sebahagian penulis barat mempertikaikan konsep kesejahteraan Islam ini dengan mengatakan Islam berkembang dengan menggunakan pedang.  Sebahagian yang lain menuduh Islam merangsang umatnya melakukan keganasan.  Sebenarnya kenyataan-kenyataan ini tidak benar sama sekali.  Sekiranya benar Islam diturnkan supaya mengajak manusia kepada keganasan, sudah pasti sejak dari awal lagi umat Islam diwajibkan bangun memberontak dan berperang dengan golongan yang lain terutamanya semasa mereka ditindak oleh kafir Quraisy.  Tetapi keadaan ini tidak berlaku.  Sebaliknya umat Islam disuruh bersabar dengan ujian yang menimpa mereka selama 13 tahun di Mekah.  Di dalam Seerah Ibn Hisyam disebutkan hampir kesemua uma Islam yang pada masa itu berada di Mekah terpaksa menanggung seksaan daripada golongan kafir Quraisy dan sebahagian daripada mereka dibunuh.  Akhirnya selepas 13 tahun, semasa umat Islam berhijrah ke kota Madinah, Allah mengizinkan mereka berperang demi keselamatan mereka dan keperluan agama.  Adakah dengan ajaran seperti ini melayakkan Islam dilabelkan sebagai agama keganasan?  Siapakah sebenarnya yang ganas?
Islam adalah Tunduk
Di samping kesejahteraan, kalimat Islam juga bermaksud tunduk dan taat.  Imam Qartubi dalam al-Jamik L ah-Kamil Quran semasa mentafsirkan ayat 19 dalam surah Ali Imran "Sesungguhnya agama yang di sisi Allah adalah Islam" berkata, "Islam dalam ayat ini bermaksud iman dan taat.  Pendapat ini berpandukan tafsiran yang dibuat oleh Imam Abu al-Aliyah dan majoriti ulama mutakalimun.


Berhubung dengna perkara yang sama, Sayid Qutub di dalam Fi Zilal Quran berkata, "Islam yang sebenarnya bukanlah sekadar pengakuan, bukan sekadar panji dan bendera, bukan sekadar perkataan yang diucapkan ataupun syiar yang dilaksanakan oleh seseorang individu dalam bentuk solat, puasa dan haji, Islam yang diredai oleh Allah sebenarnya adalah Islam yang melahirkan penyerahan diri kepada Allah, melahirkan ketaatan danketundukan serta menjadikan seseorang reda berhukum dengan kitab Allah dalam semua urusan hidupnya."


Taat dan tunduk ini dituntut dalam setiap perkara dan bidang sesuai dengan agama Islam sebagai agama yang lengkap dan sempurna.  Konsep lima puluh-lima puluh iaitu ikut separuh dan tinggalkan separuh bercanggah dengan ajaran Islam.  Sebagai contoh, adalah salah apabila seseorang mengambil sikap mematuhi Islam dalam ibadah khusus seperti solat dan puasa dan pada masa yang sama mengetepikan batas-batas halal dan haram dalam aspek ekonomi dan kenegaraan.  Berhubung dengan ini Allah menyatakan,
"Wahai mereka yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan, Syaitan adalah musuh nyata bagi kamu."  (Surah al-Baqarah ayat 208)


Ada sebahagian umat Islam, apabila tiba bulan Ramadan mereka menjaga batas-batas agama.  Pada masa itu mereka banyak membaca Quran, tidak menganjurkan konsert-konsert rock dan seringkali melaksanakan ibadah di masjid.  Sebaliknya, apabila menjelang bulan Syawal, kitab Quran mereka ketepikan, solat mereka abaikan dan mereka menjadi juara dalam penganjuran majlis-majlis maksiat yang melalaikan.  Inilah contoh ketundukan yang salah yang sering dilakukan oleh umat Islam pada hari ini.  Nabi berkata;
"Bertakwalah kamu kepada Allah di mana saja kamu berada."  (hadis yang dilaporkan oleh Trimizi - Hadis Hasan)


Justeru, tunduk kepada Allah berlandaskan acuan Islam adalah penting kerana ia melahirkan kesejahteraan yang sempurna kepada individu, keluarga, masyarakat dunia, haiwan serta alam sekitar.  Benarlah Lancelot Lawton yang berkata di dalam The Sphere (London, 1928) , "Agama Muhammad, saya mengakui lebih sesuai bagi Afrika daripada agama Kristian.  Malah saya berani berkata, lebih sesuai bagi dunia keseluruhannya.  Pencapaian ajaran agamanya nampak mengatasi ajaran yang lain.  Bukti yang dapat disebutkan adalah berkaitan dengan perkara-perkara yang dilarang agama, akhlak kemesraan, pengharaman riba dan pengiktirafan kepada rasul-rasul yang lain daripada (Muhammad).  (Muhammad) pula tidak berpura-pura menjadi seperti Tuhan malah mengawal tingkah lakunya."


Dr Danial Zainal Abidin
Buku 'Minda Muslim Super'

No comments:

Post a Comment